KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa sehingga kini belum ada tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Malah katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar sebelum ini pernah menyatakan bahawa Apandi mempunyai asas untuk disiasat kerana disyaki melindungi jenayah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apandi telah melakukan kesalahan semasa dia menjadi peguam negara sebelum Tommy Thomas.

"Kesalahannya, melepas (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) dari sebarang tindakan undang-undang, jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB sedangkan Najib kini dipenjara.

"Bahkan hakim mahkamah tinggi Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022. Di dalam penghakiman bertulis yang sebanyak 100 muka surat menolak saman fitnah Apandi terhadap (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang.

"Hakim Hazimah telah membuat kesimpulan bahawa Apandi bahawa Apandi antara lain adalah seorang yang tidak bercakap benar... gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara, ada asas untuk disiasat kerana disyaki melindung jenayah 1MDB," katanya dalam satu perkongsian video pada Selasa.

Jelas Dr Mahathir lagi, Azimah sebelum ini turut menyatakan rasa meluat terhadap betapa kejinya kenyataan yang dibuat Apandi sebelum ini yang dilihat bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.

"Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis dibuat Apandi, tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil, sebaliknya kerajaan beri pampasan jutaan ringgit pada Apandi kerana kerajaan terdahulu telah tamatkan perkhidmatannya atas kegagalan menjalankan tugasnya," tegas beliau.

Sebelum ini, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuka siasatan terhadap Mohamed Apandi berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1MDB

Kes disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang mana memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.