KUANTAN: Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman mendakwa aplikasi WhatsApp miliknya digodam pihak tidak bertanggungjawab, minggu lepas.

Fauzi berkata sebelum itu beliau menerima pautan untuk menyertai satu majlis keagamaan kononnya melibatkan Jabatan Perdana Menteri sebelum aplikasi WhatsApp miliknya digodam serta tidak boleh digunakan.

Selepas itu Fauzi berkata kenalan dan ahli keluarganya menerima mesej di aplikasi berkenaan kononnya beliau ingin meminjam wang daripada mereka dengan disertakan nombor akaun individu tidak dikenali.

"Saya telah menerima panggilan daripada mereka yang bertanyakan sama ada betul atau tidak saya ingin meminjam wang...saya cakap jangan bagi sebab (WhatsApp) kena godam.

"Ini bahaya minta duit satu hal, tekan pautan saya takut orang lain pula kena (godam), jadi saya nak pesan supaya semua berjaga-jaga dan jangan terpedaya," katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini hari ini.

Menurutnya beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu pada Ahad lepas.

Dalam pada itu MyHSR Corp dalam kenyataan meminta orang ramai yang menerima mesej sedemikian daripada Fauzi untuk mengabaikannya kerana ia adalah palsu.

Individu yang menjadi mangsa penipuan turut disaran melaporkannya segera kepada polis bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA