Skip to main content

Malaysia

APM ambil serius insiden anggota maut, tambah baik aspek keselamatan

41716218436_LogoAPMAngkatanP.jpg
APM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu susulan tragedi yang meragut nyawa Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin selepas Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya, Pahang, Sabtu lepas.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil serius insiden kemalangan maut membabitkan anggotanya, dan sentiasa terbuka untuk menilai serta menambah baik aspek keselamatan, pengurusan risiko dan pelaksanaan aktiviti dari semasa ke semasa. 

APM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu susulan tragedi yang meragut nyawa Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin selepas Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya, Pahang, Sabtu lepas. 

“Langkah penilaian itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan APM bagi memastikan keselamatan serta kebajikan anggotanya sentiasa diberikan keutamaan,” menurut kenyataan itu. 

APM turut mengesahkan anggota berusia 39 tahun itu merupakan individu yang terlatih, berpengalaman luas dalam mengendalikan haiwan berbisa dan aktif berkhidmat sejak 2010. 

"APM menegaskan aktiviti pengendalian haiwan berbisa itu telah dilaksanakan mengikut prosedur tetap operasi (PTO) serta tatacara keselamatan yang telah ditetapkan. 

"Semua anggota APM diwajibkan untuk menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan untuk menyertai operasi, dan anggota yang terlibat juga telah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur serta arahan keselamatan ditetapkan," menurut kenyataan itu. 

Muhamad Muazam Shah yang dipatuk ular tedung selar pada jari tangan kanan ketika melakukan demonstrasi, disahkan meninggal dunia pada 1.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Dalam pada itu, APM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada APM serta negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement