KLUANG: Seramai 10,000 anggota dan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan serta-merta untuk membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata antara tugas kumpulan itu ialah menyampaikan maklumat kepada masyarakat luar bandar mengenai PICK, membantu mereka mendaftar serta membawa mereka ke pusat vaksinasi.

"Anggota atau sukarelawan ini boleh memberikan maklumat atau membantu masyarakat membuat pendaftaran (PICK) sama ada dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau membawa mereka mendaftar di pusat kesihatan daerah.

"Antara yang memerlukan bantuan ialah orang kurang upaya (OKU), orang tua, orang yang jauh dari pusat kesihatan daerah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (Pulapas), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Mohd Redzuan berkata beliau yakin usaha menggerakkan anggota dan sukarelawan APM itu dapat meningkatkan kadar pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan PICK mencapai matlamat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan dalam usaha membangunkan Pusat Latihan Pertahanan Awam, masing-masing di Kinarut, Sabah dengan kos RM70 juta dan Demak Jaya, Kuching, Sarawak bernilai kira-kira RM50 juta.

Cadangan ini telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi untuk penilaian, katanya.