KUALA PERLIS: Cubaan menyeludup 3,000 liter diesel ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas berjaya menahan sebuah bot pukat hanyut di Kuala Perlis, pada Isnin.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, dalam kejadian 6.15 pagi, bot pukat hanyut itu dikesan melakukan aktiviti penyeludupan di kedudukan 0.1 batu nautika barat pantai Kuala Perlis.

Pihaknya berjaya mengesan dua suspek mengemudi bot terbabit dalam keadaan mencurigakan sebaik keluar dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand.

Katanya, bot terbabit memecut laju sebaik menyedari dikejar bot APMM dengan berpatah balik menghala ke jeti LKIM Kuala Perlis.

“Sebaik sampai kedua-dua suspek melompat ke atas jeti dan melarikan diri.

“Pemeriksaan anggota ke atas bot mendapati bot ini sudah diubah suai di mana petak ikan di bahagian hadapan dijadikan tangki minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, sebanyak 3,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM6,450 ditemui bersama satu bungkusan plastik disyaki daun ketum seberat dua kilogram bernilai RM360 yang turut cuba diseludup ke negara Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kesemua rampasan dan bot dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.