ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 4.27 juta batang rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM2.95 juta di perairan Tanjung Sepat, Selangor menerusi Op Murni/Op Tiris, Isnin lepas.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata sindiket penyeludupan rokok menggunakan bot pancung dipercayai dari Rupat, Indonesia itu dikesan hasil risikan dan maklumat daripada negara jiran selain bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) kira-kira 11.30 malam pada Ahad.

Beliau berkata bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Skim Pemisahan Trafik (TSS) ke Tanjung Sepat sebelum bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran aset APMM di kawasan berkenaan.

"Bot APMM bertindak mengejar bot pancung berwarna kelabu itu hampir 20 minit sehingga bot sindiket berkenaan memasuki kawasan paya bakau dan bertindak merempuh pokok bakau di kawasan tersebut.

"Bot APMM berjaya menghampiri dan memintas bot pancung itu di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat kira-kira 1.30 pagi pada Isnin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dianggarkan tiga tekong dan awak-awak bot tersebut yang dipercayai warga negara asing berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut sebelum masuk ke dalam hutan paya bakau berhampiran.

Katanya keadaan air pasang, gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi mengesan mereka namun bot pancung berisi kira-kira 400 kotak besar kotak rokok kretek dibaluti dengan plastik dan guni berjaya dirampas.

Iskandar berkata siasatan awal mendapati rokok seludup berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini kerana permintaan yang tinggi khususnya bagi pasaran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata rampasan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan rokok kretek yang berjaya ditumpaskan pada bulan lepas.

"Selain rokok kretek, APMM turut menyita bot pancung bersama enam enjin 200 kuasa kuda setiap satu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM3.15 juta," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA