PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas 21 bungkusan plastik hitam berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang cuba dibawa masuk melalui jalan laut.

Cubaan membawa masuk mercun melalui jalan laut dari Perairan Laut China Selatan dari negara jiran bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi Operasi Khas Pagar Laut. 

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, hasil risikan APMM berjaya mengesan bot yang mencurigakan pada jam lebih kurang 4.20 pagi.   

"Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan bertindak melarikan diri memasuki perairan sungai Kemasin. 

"Bot penguat kuasa seterusnya berpatah balik ke lokasi pertemuan tadi untuk pemeriksaan dan mendapati, terdapat lebih kurang 21 plastik hitam mengandungi pelbagai mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran melalui jalan laut. 

"Mercun dan bunga api ini dipercayai dibawa masuk kerana mendapat permintaan yang tinggi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei depan," katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan mercun-mercun berkenaan akan dibawa masuk secara berperingkat melalui jalan laut sebelum dipasarkan di sekitar negeri ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Nor Adli berkata, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi lain di sepanjang Sungai Golok dan juga di darat, mengesan taktik  penyeludup yang cuba mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan jalan laut.

"Rampasan keseluruhan mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM8,240 mengikut nilai pasaran semasa. 

"Kesemua barang yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.