MALAYSIA
APMM Kelantan rampas RM20.33 juta, 56 kes direkod sepanjang 2025
Erwan Shah (dua, kanan) ketika melakukan rondaan pada Operasi Pemantauan Sempadan bersama MKN di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor. - Foto BERNAMA
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mencatatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20.33 juta dan 56 kes tangkapan direkodkan hasil pelaksanaan operasi dan pemeriksaan sepanjang 2025.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata daripada 56 kes tangkapan itu, statistik siasatan mendapati terdapat 73 kes kesalahan yang disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang, berikutan beberapa kes melibatkan lebih daripada satu kesalahan.
Beliau berkata kesalahan tertinggi direkodkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan 23 kes, diikuti Akta Imigresen 1959/1963 (21 kes) serta Akta Perikanan 1985 (15 kes).
Turut direkodkan ialah kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (enam kes), Akta Kastam 1967 (tiga kes) dan Kanun Keseksaan (tiga kes) manakala satu kes masing-masing melibatkan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Berdasarkan pencapaian operasi, APMM merekodkan 2,132 penggeledahan dan 4,301 pemeriksaan kapal dan bot," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Erwan Shah ketika mengulas perkembangan pembinaan Kompleks APMM Tok Bali bernilai RM250 juta berkata projek itu melibatkan pembinaan kompleks pentadbiran, jeti operasi dan kuarters yang kini berada pada peringkat awal penilaian teknikal sebelum proses tender dibuka.
"Pada awal Februari ini, bahagian pembangunan ibu pejabat maritim akan turun ke lokasi bagi membuat penilaian spesifikasi projek, kami jangkakan tender dapat dibuka dalam tahun ini.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengarahkan supaya semua projek yang telah diluluskan dipercepatkan pelaksanaannya tanpa menjejaskan peraturan dan prosedur sedia ada," katanya.
Beliau berkata jika proses tender berjalan lancar, tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa sekitar tiga tahun, sebelum operasi APMM Kelantan dipindahkan sepenuhnya ke kompleks baharu.
"Ketika ini, APMM Kelantan beroperasi di sebuah bangunan bekas kilang ais yang disewa dan diubah suai menjadi pejabat, namun lokasi baharu di muara Tok Bali yang menghala terus ke laut terbuka disifatkan jauh lebih strategik dari sudut operasi.
"Lokasi ini berada betul-betul di laluan masuk ke Tok Bali dan memberi kelebihan daripada segi respons pantas terhadap sebarang insiden di laut," katanya.
Selain menjaga perairan Kelantan, kompleks itu juga akan berperanan menyokong operasi melibatkan perairan Terengganu dan Pahang memandangkan keseluruhan perairan Pantai Timur berada dalam skop tanggungjawab bersama APMM.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan kompleks maritim itu selari dengan perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Tok Bali sebagai hab rekreasi dan pelancongan, termasuk pembinaan jeti penumpang yang dijangka beroperasi sekitar April bagi laluan ke Pulau Perhentian.
Pada pembentangan Belanjawan 2026 lepas, KDN memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pembinaan dan penaiktarafan fasiliti badan beruniform di seluruh negara, termasuk projek utama Kompleks APMM Kelantan di Tok Bali.
-- BERNAMA