Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia menahan seramai 128 orang pendatang tanpa izin yang dipercayai warga negara Myanmar di lokasi lima batu nautika (lapan kilometer) dari Pulau Rebak di perairan Langkawi di Langkawi Isnin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Zulkarnain Mohd Omar berkata daripada jumlah itu seramai 115 orang lelaki, empat wanita manakala sembilan lagi kanak-kanak.

Bot peronda agensi berkenaan menemui sebuah bot kargo yang kelihatan mencurigakan dan selepas membuat pemeriksaan menjumpai kesemua mereka dalam bot berkenaan, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Selasa.

Zulkarnain berkata hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga negara Myanmar.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut untuk siasatan lanjut di bawah akta Jabatan Imigresen kerana cubaan memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran dan permit yang sah.

Menurut beliau, ini adalah tangkapan pendatang tanpa izin yang ketiga dibuat agensi itu sepanjang tahun ini di perairan Langkawi.