MALAYSIA

APMM Pulau Pinang tahan dua kapal tangki cuba pindah minyak mentah bernilai RM512 juta

Bernama 31/01/2026 | 15:00 MYT
Muhammad Suffi berkata susulan itu dua kapten kapal serta vesel berkenaan ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. - Gambar APMM
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah dari kapal ke kapal bernilai lebih RM512 juta di perairan negeri berkenaan pada Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • APMM Pulau Pinang menahan dua kapal tangki yang disyaki melakukan pemindahan minyak bernilai RM512 juta di perairan negeri tersebut.
  • Aktiviti pemindahan minyak dilakukan oleh 53 kru dari pelbagai negara termasuk China, Myanmar, Iran, Pakistan, dan India.
  • Nilai rampasan minyak mentah dari kedua-dua kapal tangki itu ialah RM718 juta; kes kini disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.


Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot peronda marin menerima aduan pada 1 pagi memaklumkan terdapat dua kapal tangki bersauh pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Muka Head dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak.

"Kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah melibatkan 53 kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.

"Nilai rampasan minyak mentah berjumlah lebih RM512 juta manakala nilai rampasan kedua-dua kapal tangki itu ialah RM718 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata susulan itu dua kapten kapal serta vesel berkenaan ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

-- BERNAMA


#APMM #minyak mentah #nilai rampasan #Pegawai Penyiasat