MALAYSIA

APMM Selangor tahan VNT Kelas B, guna mata pukat larangan

Bernama 02/08/2025 | 04:00 MYT
Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan dua warga tempatan masing-masing tekong dan kru berumur 49 dan 55 tahun. - Gambar ihsan APMM
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B kerana melakukan kesalahan menggunakan mata pukat kurang 38 milimeter di perairan Kapar, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan bot itu dilakukan pihaknya di kedudukan 4.1 batu nautika barat perairan Kapar ketika aktiviti menangkap ikan sedang dilaksanakan kira-kira 9 malam.

Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan dua warga tempatan masing-masing tekong dan kru berumur 49 dan 55 tahun.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, satu gulung pukat tunda serta kira-kira 50 kilogram ikan campur hasil tangkapan vesel terbabit telah ditemukan.

"Vesel nelayan ini didapati melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan di bawah Akta Perikanan 1985," kata Abdul Muhaimin menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kru bersama vesel dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

-- BERNAMA





#APMM Selangor #mata pukat larangan #Vesel Nelayan Tempatan #langgar syarat sah lesen