Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong bot, dalam dua tangkapan berasingan di sekitar perairan Selangor dekat sini, awal pagi Sabtu.

Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata kesemua PATI itu diberkas di atas dua buah bot jenis 'barter trade' dan bot nelayan tempatan setelah mereka berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Pintu Gedung di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot barter trade kira-kira 7 pagi, mendapati lapan lelaki warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain memiliki visa yang telah tamat tempoh.

"Sementara satu lagi bot yang ditahan pada 7.20 pagi, mendapati seorang tekong dan empat lelaki Indonesia yang juga awak-awak kapal berumur 20 hingga 50 tahun telah melanggar syarat sah lesen serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Jeti Maritim Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Berikutan itu, Mohd Rosli berkata pihaknya akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung dan membanteras PATI yang menggunakan tekong haram untuk keluar dan masuk ke negara ini menerusi jalan laut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan mengetahui kes kecemasan di laut diminta menyalurkan maklumat ke talian MERS 999 atau menghubungi pusat operasi Maritim berhampiran, katanya.