[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

APMM tahan kapal kargo papar dua nama berbeza pada radar

Bernama 09/05/2025 | 07:50 MYT
Kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza di radar ditahan Maritim Malaysia Selangor berhampiran Pulau Che Mat Zin pada Khamis. -Sinar Harian
SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza pada radar di kedudukan 0.23 batu nautika timur Pulau Che Mat Zin, dekat sini, semalam.

Ringkasan AI
  • Kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza pada radar ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor.
  • Kapal dikendalikan oleh nakhoda warga tempatan berusia 63 tahun bersama dua kru warga tempatan berumur 26 dan 35 tahun.
  • Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana sistem AIS kapal memaparkan dua nama berbeza dengan menggunakan nombor MMSI yang sama.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal dikendalikan nakhoda warga tempatan berusia 63 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang oleh bot peronda APMM yang melakukan rondaan rutin Op Ehsan dan Op Tiris 3.0.
Beliau berkata kapal terbabit yang menuju ke Pelabuhan Selatan dikesan memaparkan dua nama berbeza pada radar lalu ditahan untuk diperiksa.
"Kapal itu turut dikendalikan dua kru warga tempatan berumur 26 dan 35 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati sistem pengenalan automatik (AIS) kapal terbabit meragukan dan disyaki melakukan kesalahan, lalu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana sistem AIS kapal memaparkan dua nama berbeza dengan menggunakan nombor identiti pengenalan mudah alih maritim (MMSI) yang sama.
-- BERNAMA
#APMM #kapal kargo #papar dua nama #sistem AIS kapal