MALAYSIA

APMM tahan kapal tangki simpan minyak diesel tanpa dokumen sah

Bernama 10/11/2025 | 14:00 MYT
Salehuddin berkata kapal itu ditahan ketika sedang bersauh pada kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka di perairan Selat Melaka pada 3.30 petang semalam. - Gambar APMM
MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki yang disyaki menyimpan kira-kira 50 metrik tan minyak diesel tanpa dokumen sah bernilai hampir RM180,000.


Ringkasan AI
  • Kapal tangki ditahan agensi penguatkuasaan maritim di Selat Melaka kerana menyimpan 50 metrik tan minyak diesel tanpa dokumen sah, bernilai RM180,000.
  • Terdapat lima kru warga Indonesia berusia 20 hingga 46 tahun dalam kapal tersebut tanpa invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan api.
  • Kesalahan dilakukan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.


Pengarahnya Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata kapal itu ditahan ketika sedang bersauh pada kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka di perairan Selat Melaka pada 3.30 petang semalam.

Beliau berkata pihaknya menemui lima kru warga Indonesia berusia 20 hingga 46 tahun dalam kapal tangki dari Batam, Indonesia itu.

"Kapal tangki berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 metrik tan cecair disyaki minyak diesel di dalam tangkinya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kru kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan api itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Salehuddin berkata minyak itu dipercayai diambil di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.

Beliau berkata kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, katanya Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.

-- BERNAMA


#APMM #bahan api #dokumen sah #keselamatan negara