APMM teruskan SAR kesan bot karam sarat dengan imigran di perairan Langkawi

Romli berkata, maklumat risikan awal menunjukkan bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar, dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai karam tiga hari lalu. - Foto Maritim Malaysia
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis menemui beberapa mangsa disyaki imigran Myanmar di sekitar perairan Langkawi semalam, dipercayai susulan insiden bot karam di Pulau Tarutao, kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia.
Ringkasan AI
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah/Perlis menemui mangsa disyaki imigran Myanmar di perairan Langkawi susulan insiden bot karam di Pulau Tarutao, sempadan Thailand-Malaysia.
- Sebanyak 11 individu termasuk seorang mayat ditemui dalam operasi menyelamat, menimbulkan kebimbangan keselamatan dan isu kemanusiaan.
- Maritim Malaysia tegaskan akan ambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia yang aktif menggunakan laluan laut berisiko tinggi, sambil menjalankan Operasi Guard 5.0 bersama agensi keselamatan lain.
Sementara itu, pada petang semalam, operasi mencari dan menyelamat menemukan lebih banyak petunjuk.
Romli berkata, aset PETIR 81 milik Maritim Malaysia menemukan mayat seorang wanita terapung di laut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Teriang pada jam 2.05 petang.
Aset sama turut mengesan seorang lelaki warga Bangladesh di atas Kapal Layar APHRODITE.
Mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pihak IPD Kuah di Langkawi.
“Dalam operasi berasingan, aset BENTENG 7 turut menemui seorang wanita disyaki imigran Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan, sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada IPD Kuah untuk siasatan lanjut.
“Bot PETIR 81 Maritim Malaysia telah mengiringi Kapal Layar ADVENTURE yang menemui empat lelaki Myanmar pada jam 11.45 malam tadi, dan dibawa ke Jeti Telaga Harbour dan diserahkan kepada pihak polis.
“Manakala seorang lagi mangsa yang turut disyaki dari Myanmar dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan terdampar di kawasan Kelab Golf Datai," tambahnya.
Romli berkata, setakat ini seramai 11 individu termasuk satu mayat telah dijumpai dan beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa.
Katanya, berdasarkan maklumat risikan awal bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar, dengan anggaran 300 penumpang dan dipercayai karam tiga hari lalu di kawasan sempadan perairan Thailand–Malaysia.
Beliau menegaskan, Malaysia bukan transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini.
“Setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan diambil tindakan tegas.Isu ini bukan sekadar kemanusiaan, tetapi turut melibatkan keselamatan negara,” tegasnya.
Menurut Romli lagi, sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi imigran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut berisiko tinggi.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia. Semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Romli berkata, Maritim Malaysia melaksanakan Operasi Guard 5.0 bersama Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha menjaga sempadan perairan Malaysia-Thailand serta mengekang kemasukan bot pendatang asing tanpa izin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


