[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

APMM tumpas sindiket seludup burung bernilai RM100,000

Bernama 31/05/2025 | 01:15 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan satu sindiket membawa keluar lebih 1,300 burung eksotik yang didalangi dua lelaki warga tempatan, semalam. - Gambar Bernama
BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan satu sindiket membawa keluar lebih 1,300 burung eksotik yang didalangi dua lelaki warga tempatan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, cubaan menyeludup burung ke negara jiran yang nilai rampasan berjumlah RM100,000 itu gagal setelah bot fiber dinaiki suspek berjaya dipintas bot APMM pada kira-kira 1 pagi.
"Selepas ditahan dan pemeriksaan dilakukan terdapat 114 bakul berisi burung murai batu serta murai kampung anggaran lebih 1,300 ekor, dengan kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 27 tahun gagal mengemukan dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar.
"Kedua-dua suspek dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Laboh yang dipercayai menjadi lokasi transit utama sindiket penyeludupan hidupan liar.
Mohammad Zaini berkata, cubaan seludup tersebut dilakukan kerana terdapat permintaan yang tinggi, selain pihaknya mendapati sindiket menggunakan bot kecil pada waktu malam bertujuan mengaburi pihak berkuasa.
--BERNAMA
#APMM #sindiket seludup burung #murai batu #murai kampung