Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
GADGETS

Apple acah pelancaran MacBook M5, iPad Pro baharu dijangka menyusul

Amanz 15/10/2025 | 06:23 MYT
Apple mula mengacah pelancaran MacBook baharu dengan cip Apple M5 melalui video pendek yang memaparkan siluet berbentuk huruf V sebagai simbol angka lima Romawi. -Amanz
CUPERTINO: Apple mula mengacah pelancaran produk terbaharunya, MacBook dengan cip Apple M5, menerusi satu video pendek yang dimuat naik oleh Naib Presiden Kanan Pemasaran Global Apple, Greg Joswiak, di platform X.


Ringkasan AI
  • Apple mula mengacah pelancaran MacBook baharu dengan cip Apple M5 melalui video pendek yang memaparkan siluet berbentuk huruf V sebagai simbol angka lima Romawi.
  • MacBook Pro 14 inci dijangka menjadi model pertama dilengkapi cip M5, dengan varian M5 Pro dan M5 Max menyusul awal 2026, serta iPad Pro M5 turut dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
  • Cip M5 dijangka menawarkan peningkatan prestasi CPU dan GPU sehingga 35 peratus, namun pelancaran Apple Intelligence ditangguhkan ke 2026 atas isu pembangunan dan piawaian kualiti.


Video acah tersebut memaparkan siluet sebuah komputer riba yang separa terbuka, membentuk huruf “V” — simbol angka lima dalam angka Romawi — sekali gus memberi bayangan kepada cip generasi kelima Apple Silicon.

Menurut laporan Bloomberg, pelancaran ini dijangka melibatkan model asas MacBook Pro 14 inci yang akan dilengkapi cip M5, manakala varian M5 Pro dan M5 Max dijangka menyusul pada awal 2026.

Selain MacBook, iPad Pro baharu dengan cip M5 juga dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, selepas video unboxing peranti tersebut tertiris di Rusia baru-baru ini.

Dari segi rekaan, tiada perubahan besar dijangka berbanding model MacBook Air dan Pro sedia ada. Namun, cip M5 dijangka menawarkan peningkatan prestasi CPU dan GPU antara 10 hingga 35 peratus, serta penjimatan tenaga lebih baik berbanding cip M4.

Walaupun pesaing seperti Microsoft dan Google telah memperkenalkan ciri AI generatif secara meluas, Apple masih belum melancarkan sepenuhnya Apple Intelligence, yang kini ditangguhkan ke 2026 susulan isu pembangunan dan ketidaksesuaian dengan piawaian kualiti syarikat.

Tarikh rasmi pelancaran MacBook M5 masih belum diumumkan, namun pelbagai petunjuk menunjukkan ia akan berlaku dalam minggu-minggu terdekat. -Amanz






#Apple #cip Apple M5 #macbook pro #Apple Intelligence