GADGETS

Apple uji aplikasi seumpama ChatGPT, bereksperimen dengan ciri baharu Siri

Amanz 29/09/2025 | 01:40 MYT
Aplikasi yang dikenali dengan nama Veritas ini memfokuskan penggunaan dalaman sahaja, dan dikatakan tidak akan diperkenalkan untuk pengguna awam. - Foto Amanz
PADA tahun 2024 yang lepas, Apple telah mempertontonkan Apple Intelligence, selain menjanjikan pelbagai ciri baharu yang akan hadir ke Siri. Namun, selang setahun, ia tidak berkunjung tiba, malah bahagian pembangunan kecerdasan buatan di Apple sendiri dilihat ketinggalan berbanding pesaing yang lain.

Dalam usaha untuk mengatasinya, Apple telah melakukan sejumlah perubahan dan penstrukturan kembali. Terbaru, Apple dilaporkan telah membangunkan sebuah aplikasi yang diinspirasikan ChatGPT, dalam usaha untuk menguji keupayaan baharu Siri melaluinya.

Aplikasi ini memfokuskan penggunaan dalaman sahaja, dan dikatakan tidak akan diperkenalkan untuk pengguna awam. Ia dikenali dengan nama “Veritas”. Menggunakannya, para pekerja Apple boleh menguji pelbagai keupayaan baharu Siri dengan lebih pantas, termasuk melakukan carian data-data peribadi yang disimpan di telefon seperti emel dan mesej, selain pelbagai ciri-ciri berkaitan yang lain.

Selain bereksperimen dengan ciri baharu untuk Siri, Apple juga dikatakan menghimpunkan maklumbalas berkaitan sama ada format chatbot perlu diintegrasikan dan diperkenalkan, atau sebaliknya.

Bersama aplikasi ini, Apple turut sedang bereksperimen dengan pelbagai perkara lain melibatkan kecerdasan buatan. Dengan lewat setahun, Apple menyasarkan untuk memperkenalkan pelbagai perkara memfokuskan kecerdasan buatan, termasuk Siri generasi baharu menjelang 2026 kelak.





#ChatGPT #Apple #siri #aplikasi Veritas