#Apple40Years: 10 produk Apple ubah hidup manusia

Nizam Bakeri
April 1, 2016 13:16 MYT
iPhone kekal sebagai produk Apple yang paling berjaya dan menjana hampir 70 peratus jumlah pendapatan Apple - Foto fail
EMPAT dekad lalu, tiga individu bertanggungjawab memulakan hayat gergasi teknologi yang kini dikenali sebagai jenama paling bernilai di dunia.
Apple hari ini menyambut ulang tahun ke-40 selepas Steve Jobs, Steve Wozniak, dan Ronald Wayne mencipta dan menjual komputer pertama mereka pada 1 April 1976.
Sejak itu, syarikat yang kini berpangkalan di Cupertino tidak lagi menoleh ke belakang.
Dengan panduan ide bernas Jobs yang kemudian diambil alih oleh Tim Cook, Apple muncul sebagai peneraju arena teknologi.
Sempena ulangtahun Apple ke-40, kita singkap semula 10 produk Apple yang telah mengubah gaya hidup manusia.
1- Apple I (1976)
Komputer pertama Apple ini dibina sepenuhnya oleh Wozniak. Jobs terpaksa menjual van Volkswagen miliknya untuk membiayai projek ini. Demonstrasi produk pertama kali dijalankan di Homebrew Computer Club.
Produk ini disusuli dengan Apple II pada tahun 1977 dan Apple Lisa yang mempunyai skrin sendiri dan tetikus pertama ciptaan Apple pada tahun 1983.
2- Macintosh (1984)
Mac pertama dilahirkan sebagai komputer ‘mampu milik’ pertama yang mempunyai graphic user interface (GUI). Harganya ketika itu? AS$2,495 seunit.
3- Powerbook 100 (1991)
Komputer riba pertama Apple ini direka bentuk dan dibina oleh Sony. Powerbook menelan kos $2,500 bagi setiap unit pada masa itu. Produk ini disusuli oleh iBook pada tahun 1999 dengan reka bentuk lebih ergonomik.
4- iMac (1998)
Buah tangan Jobs dan pakar reka bentuk Apple, Jony Ive ini menjadikan Apple jenama popular di seluruh dunia sebelum kemunculan iPhone.
5- OSX Cheetah (2001)
Apple berhijrah dari sistem operasi asal kepada OSX yang menjadi asas sistem operasi kepada semua kompute Apple hari ini, juga untuk platform mudah alih melalui iOS. Sistem operasi Apple terkenal dengan ciri pantas, stabil, dan selamat.
6- iPod (2001)
“Seribu lagu. Dalam poket anda.” Slogan ini mengubah imej Apple selama-lamanya daripada sebuah syarikat komputer kepada syarikat gajet gaya hidup. Pemain muzik pertama Apple ini mempunyai memori 5MB.
7- iPhone (2007)
Selepas kejayaan iPod, Apple memperkenalkan iPhone sekaligus mengubah dunia perkomputeran mudah alih selama-lamanya. Model pertama iPhone mempunyai storan 4GB, pemproses Samsung 620MHz, dan skrin 3.5 inci.
8- MacBook Air (2008)
Era komputer riba yang nipis dan berkuasa tinggi atau ‘ultrabook’ dimulakan oleh MacBook Air. Walaupun siri pertamanya tidak begitu memberangsangkan, namun pembaharuan Air disambut baik sehingga kini.
9- iPad (2010)
Apple memulakan siri komputer tablet yang beroperasi sepenuhnya dengan penggunaan jari berbanding penggunaan komputer peribadi. Idea asal iPad diambil daripada produk Newton pada tahun 1993.
10- Apple Watch (2015)
Produk baharu pertama Apple selepas Jobs meninggal dunia. Sekalipun dilihat oleh pemain industri sebagai ‘produk ikutan’ selepas beberapa pengeluar lain mengeluarkan jam pintar, Apple Watch mempunyai tarikan tersendiri.
##Apple40Years #Apple #Apple 40 tahun #apple watch #iPad #iPhone #MacBook