Arab Saudi benarkan kemasukan pelancong lengkap divaksin mulai 1 Ogos

Bernama
Julai 30, 2021 04:48 MYT
Bermula 1 Ogos 2021, tiada lagi larangan masuk ke Arab Saudi kepada pemegang visa pelancong yang lengkap divaksin dan tiada kuarantin diperlukan. - Gambar REUTERS
DOHA: Arab Saudi membenarkan warga asing yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 mengunjungi negara ini bermula 1 Ogos, lapor Sputnik.
"Bermula 1 Ogos 2021, tiada lagi larangan masuk ke Arab Saudi kepada pemegang visa pelancong yang lengkap divaksin. Tiada kuarantin diperlukan bagi mereka yang mempunyai sijil vaksinasi," memetik pengumuman Kementerian Pelancongan Arab Saudi di akaun Twitter pada Jumaat.
Bagaimanapun, pelancong asing masih perlu mengambil ujian PCR, 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.
Sehingga kini, negara ini melaporkan sejumlah 523,397 kes COVID-19, sementara 8,212 pesakit telah meninggal dunia, menurut maklumat rasmi.
Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong pada September 2019. Pada Mac 2020, pihak berkuasa menggantung sementara pengeluaran visa itu berikutan pandemik COVID-19. - BERNAMA
#Arab Saudi #Pelancong asing #lengkap dua dos vaksin #ujian PCR #visa pelancong #Kementerian Pelancongan Arab Saudi