Arab Saudi hos mesyuarat bincang konflik Ukraine-Rusia

Agensi
Ogos 5, 2023 09:00 MYT
ARAB Saudi akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat penasihat keamanan nasional di Jeddah, hari ini untuk membincangkan konflik Ukraine dan Rusia.
ARAB Saudi akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat penasihat keamanan nasional di Jeddah, hari ini untuk membincangkan konflik Ukraine dan Rusia, lapor agensi berita negara itu.
Mesyuarat yang akan turut dihadiri wakil dari beberapa buah negara lain itu merupakan kesinambungan usaha Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman dalam inisiatif kemanusiaan selain lanjutan komunikasi antara baginda dengan pemimpin kedua-dua negara konflik itu sejak awal krisis.
Portal berita Arab News melaporkan, pertemuan pada hari ini juga memperlihatkan kesediaan Arab Saudi dalam usahanya menyumbang pada mencapai penyelesaian yang akan membawa keamanan selain sokongannya terhadap segala usaha dan inisiatif yang bertujuan mengurangi kesan krisis dan akibat terhadap kemanusiaan sejagat.
Dalam masa sama, kerajaan Arab Saudi berharap pertemuan ini juga akan membantu mengukuhkan dialog dan kerjasama melalui pertukaran pandangan, penyelarasan dan perbahasan di peringkat antarabangsa mengenai cara untuk memastikan penyelesaian krisis melalui saranan politik dan diplomasi serta memperkuatkan perdamaian dan keamanan antarabangsa, menghindari krisis kemanusiaan, keamanan dan ekonomi dunia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi yang menawarkan rundingan itu.
Dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial X, Zelensky berkata, beliau akan berada di Jeddah untuk menghadiri mesyuarat bersama ketua-ketua negara dan wakil-wakil Kementerian Luar Negeri asing.
"Ramai negara akan diwakili, dari pelbagai benua, termasuk negara-negara di Selatan Global.
"Ini adalah sangat penting kerana dalam perkara seperti keselamatan makanan, nasib berjuta-juta orang di Afrika, Asia, dan bahagian lain dunia bergantung secara langsung kepada seberapa cepat dunia akan melaksanakan formula keamanan," katanya.
Menurut Zelensky, pertemuan merupakan langkah yang sama seperti diadakan di Copenhagen pada Jun lalu dan ia akan membantu menggerakkan langkah demi langkah menuju kemuncak persidangan keamanan global.
"Penamat yang adil dan jujur terhadap tindakan agresif Rusia akan memberi manfaat kepada semua orang di dunia. Menghapuskan semua ancaman yang dicipta oleh Rusia terhadap keselamatan Ukraine dan keselamatan global bermakna mengembalikan perdamaian kepada hubungan antarabangsa dan kestabilan dalam kehidupan global," ujar Zelensky lagi. - Agensi
#konflik Rusia-Ukraine #Arab Saudi hos mesyuarat #Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman #Volodymyr Zelensky
;