Arahan pemberhentian semua aktiviti hutan di Perak mungkin dilanjut

Abd Razak Mohd Ali
Disember 17, 2022 08:34 MYT
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, penutupan itu bertujuan mengelakkan sebarang tragedi yang tidak diingini. - Fail/Sinar Harian
IPOH: Arahan pemberhentian aktiviti hutan di Perak, termasuk pembalakan dan rekreasi, yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini, berkemungkinan besar dilanjutkan sekiranya keadaan hujan berterusan.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, penutupan itu bertujuan mengelakkan sebarang tragedi yang tidak diingini.
“Arahan penutupan ini kita buat awal Oktober lagi berikutan perubahan monsun dan ramalan hujan lebat pada hujung tahun dan ia masih berkuatkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan arahan agar semua aktiviti di hutan dihentikan sehingga 31 Disember kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Mohamed Zin berkata, dalam masa sama, semua hutan rekreasi ditutup dan aktiviti mendaki gunung tidak dibenarkan.
“Semua itu adalah ramalan sahaja dan jika keadaan cuaca baik kita buka semula,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan mengumumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan arahan penutupan itu dilanjutkan ekoran cuaca yang tidak menentu, lebih-lebih lagi hujan lebat menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir.
“Dengan keadaan cuaca sekarang, kemungkinan besar arahan itu akan dilanjutkan,” ujarnya.
Setakat ini, terdapat 14 kawasan hutan lipur di bawah selenggaraan Jabatan Perhutanan Perak.
#aktiviti hutan Perak #hujan lebat #Pengarah Perhutanan Perak #Mohamed Zin Yusop