MALAYSIA
Arkib Negara terbit buku khas, perkukuh warisan pemikiran Tun Sambanthan

Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) menerima buku 'Tun V.T Sambathan Speaks' daripada Jaafar Sidek (kiri) pada Program Mengenang Jasa Tun V.T. Sambanthan : Menteri Perpaduan Pertama di Dewan Bangunan Peladang, Klang Lama hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Arkib Negara Malaysia mengorak langkah penting dalam memartabatkan warisan sejarah menerusi pelancaran sebuah buku khas berjudul Tun V.T. Sambanthan Speaks sempena Program Mengenang Jasa Tun V.T. Sambanthan: Menteri Perpaduan Pertama di sini hari ini.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata buku itu menghimpunkan ucapan dan pemikiran Tun Sambanthan sepanjang tempoh beliau bergelar ahli politik dan Jemaah Menteri.
Beliau berkata buku khas itu turut menyokong pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.
"Buku ini menghimpunkan ucapan dan pemikiran beliau yang dirakam dalam pelbagai majlis rasmi, persidangan dan sidang Parlimen sepanjang berkhidmat sebagai ahli politik dan Menteri Kabinet," katanya semasa menyampaikan ucapan pada program berkenaan.Jaafar Sidek berkata kandungan buku itu memperlihatkan komitmen tokoh negarawan berkenaan dalam memperkukuh perwakilan masyarakat India di peringkat nasional serta usaha beliau terhadap agenda perpaduan, pendidikan, pembangunan luar bandar dan gagasan Malaysia yang inklusif.
"Kami percaya buku ini mampu menjadi sumber rujukan penting kepada pelajar, penyelidik, penggubal dasar dan rakyat umum yang ingin memahami nilai perpaduan melalui lensa sejarah dan pemikiran seorang tokoh negarawan," katanya.
Beliau turut menekankan program berkenaan menjadi wadah penting dalam menyemarakkan usaha dokumentasi tokoh nasional secara sistematik dan mudah diakses generasi akan datang.
Pada masa sama, Arkib Negara turut menyeru orang ramai agar mengunjungi Memorial Negarawan yang menempatkan pelbagai bahan sejarah berkaitan tujuh tokoh penting negara termasuk Tun Sambanthan.
Memorial yang terletak di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur itu didedikasikan kepada enam lagi tokoh negarawan iaitu Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Dr Lim Chong Eu, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephens dan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng.
"Memorial ini boleh dikunjungi secara percuma pada setiap hari kecuali hari Isnin, pukul 9 pagi hingga 5 petang. Di samping itu, orang ramai juga boleh melayari secara maya melalui e-Negarawan #klikdijari dengan melayari portal enegarawan.arkib.gov.my," katanya.
Memorial yang dibuka kepada umum sejak 2017 itu turut memberi akses maya kepada 10 memorial melalui paparan 360 darjah untuk dinikmati dari mana-mana lokasi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami