Gabenor Wilayah Pentadbiran Autonomi Islam Mindanao (ARMM), Mujiv Hataman menafikan dakwaan Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) bahawa ribuan etnik Tausug sedang menuju ke Sabah.

Kenyataan MNLF pimpinan Nur Misuari itu disifatkan sebagai strategi menakut-nakutkan rakyat Sabah.
 

"Itu tidak benar. Tiada sesiapa pun dari selatan Mindanao sedang bergerak ke Sabah," kata Mujiv dalam satu kiriman mesej terbaru kepada Astro Awani.
 

Beliau mengulas kenyataan MNLF yang mendakwa ribuan etnik Tausug sedang menuju ke Sabah untuk membantu kumpulan pengganas yang dipimpin individu yang mendakwa Sultan Jamalul Kiram III.
 

Ketika dihubungi siang tadi Gabenor Mindanao itu mengulangi gesaan terhadap penceroboh Kiram supaya berundur dari Sabah.

Menurut Mujiv, ARMM akan meneruskan usaha memujuk kumpulan penceroboh itu supaya berundur dan mengingatkan mereka supaya mempertahankan persaudaraan atas nama Islam.

"Semua orang Islam bersaudara. Saya sekali lagi menggesa mereka (penceroboh) menamatkan pencerobohan di sana," kata Mujiv.

Tambah beliau, ARMM sehingga ini terus berhubung dengan kumpulan Kiram namun mereka bertegas dengan pendirian untuk tidak berundur.

"Kiram mendesak rundingan dijalankan pada peringkat neutral seperti badan-badan antarabangsa mengenai tuntutan (ke atas Sabah) sebelum menghentikan pencerobohan," ujar Mujiv.

Reaksi Manila

Sementara itu di Manila, jurucakap Presiden Benigno Aquino III, Ricky Carandang hari ini berkata, kerajaan Filipina telah menggunakan semua pendekatan untuk mengelak pencerobohan di Sabah berakhir dengan keganasan.

Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan Malaysia melancarkan serangan ke atas penceroboh yang berkubu di Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu, mulai pagi ini.
 

"Kami telah melakukan segala yang terdaya yang boleh bagi menghalang kejadian ini berlaku tetapi pengikut Kiram memilih jalan tersebut," kata Carandang.

Pencerobohan Kiram setakat ini mengorbankan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).