MALAYSIA

ART dijangka buka akses bebas tarif kepada PKS tempatan termasuk Pulau Pinang - Chow

Bernama 18/11/2025 | 03:10 MYT
Kata Chow Kon Yeow, inisiatif ini berpotensi menjadikan aktiviti eksport lebih mudah dan kos efektif, selain membolehkan PKS halal negeri bersepadu dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi. - Gambar fail Bernama
GEORGE TOWN: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dijangka membuka peluang akses bebas tarif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal tempatan termasuk Pulau Pinang ke pasaran AS.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif ini berpotensi menjadikan aktiviti eksport lebih mudah dan kos efektif, selain membolehkan PKS halal negeri bersepadu dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat AS dalam industri berteknologi tinggi.

"Industri halal di Pulau Pinang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi khususnya dalam sektor makanan siap dan pemprosesan.

"Sokongan berterusan daripada kerajaan negeri dan kerjasama rapat dengan agensi Persekutuan dan sektor swasta dijangka membantu PKS halal tempatan memanfaatkan peluang ini dan memperluas operasi mereka ke peringkat antarabangsa," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sentiasa peka mengenai potensi cabaran yang mungkin wujud daripada pelaksanaan ART terutamanya dalam memastikan daya saing, pematuhan terhadap piawaian halal dan kestabilan eksport dapat dikekalkan.

Sehubungan itu, katanya, Pulau Pinang sedang meneliti pelbagai langkah untuk memperkukuh ekosistem halal pada peringkat negeri agar selaras dengan peluang yang bakal terhasil melalui pelaksanaan perjanjian tersebut.

Katanya, pelaksanaan ART juga dijangka mendorong pengukuhan program latihan teknikal dan peningkatan kapasiti tenaga kerja tempatan bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

Bagi sektor pertanian, katanya ,ART dijangka memberi kesan positif terhadap komoditi seperti getah asli, minyak sawit dan hasil makanan lain sekali gus berpotensi memanfaatkan pembangunan produk pertanian inovatif, pemprosesan berasaskan nilai tambah dan penerokaan pasaran pertanian yang lebih premium walaupun Pulau Pinang bukan pengeluar utama negara bagi komoditi itu.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri kekal proaktif dalam memastikan komuniti perniagaan tempatan terus berdaya saing melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi tempatan walaupun ART berkemungkinan membawa cabaran kepada sektor PKS, pertanian dan halal.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus di bawah Perintah Eksekutif 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

-- BERNAMA


#Malaysia-Amerika Syarikat #art #perjanjian perdagangan timbal balas #Chow Kon Yeow