CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Cebu, Filipina jam 1.50 tengah hari pada Khamis bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-48.
Kehadiran beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail disambut oleh Setiausaha Kabinet yang juga Menteri Pengiring, Sharin S. Garin dari Jabatan Tenaga Filipina.
Hadir sama menyambut ketibaan di Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen ialah Gabenor Cebu, Pamela Pam Baricuatro serta Datuk Bandar Lapu-Lapu City, Cynthia King Chan.
Antara lain ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Anwar akan mengikuti Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) pada sebelah petang ini.
Pada Jumaat pula, Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 bersama pemimpin negara anggota lain dengan jangkaan tumpuan menyentuh kepada kesan krisis Asia Barat terhadap rantau ini.
Perdana Menteri turut dijangka mengadakan beberapa mesyuarat sela dengan rakan sejawat serantau sepanjang sidang berlangsung.
Pada Rabu, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony berkata, Malaysia akan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan dan daya tahan rantau.
Jelas beliau, antara isu utama selain kesan konflik di Asia Barat, fokus turut tertumpu kepada perbincangan mengenai konflik pembangunan Komuniti ASEAN, keselamatan tenaga dan makanan serantau.