NATIONAL
ASEAN 25: ‘Kerajaan sudah jalankan tanggungjawab, tiba masa untuk industri sahut cabaran’ - PM Anwar

Anwar ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Makan Malam Forum Ekonomi Forum sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di ibu negara, pada Selasa. - Gambar PMO
KUALA LUMPUR: Kestabilan yang wujud di rantau ASEAN sejak sekian lama adalah usaha berterusan pemimpin-pemimpin negara anggota, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pimpinan politik sudah memberi jaminan tentang kestabilan, dan menghasilkan polisi yang jelas selain menyediakan peluang untuk pelaksanaan teknologi baharu, demi menarik pelaburan ke rantau ini.
Justeru beliau menjelaskan, kini tiba masanya untuk peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain industri.
“Kami sudah melaksanakan sesi kami (ASEAN-GCC-China), dan bola kini di tangan anda … komuniti perniagaan, pemain korporat, kapten industri, perlu merebut peluang dan melakukan apa yang terdaya kerana kami (kerajaan) sudah menyediakan polisi yang jelas.“Kini anda harus memberi jaminan bahawa kerajaan dan negara boleh menerima manfaat daripada pendirian pimpinan politik yang teguh, serta polisi ekonomi yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Makan Malam Forum Ekonomi Forum sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di ibu negara, pada Selasa.
Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan, pemimpin ASEAN telah bersetuju untuk terus mengekalkan prinsip kepusatan (centrality), yang akan menentukan usaha untuk melindungi kepentingan serantau, dan mewujudkan suasana ekonomi yang lebih mampan.
“GCC (Majlis Kerjasama Teluk), seperti mana yang saya sebutkan, di antara integrasi pagi ini, jelas menunjukkan ia adalah ‘dynamo’ untuk Timur Tengah. Daya ketahanan sangat luar biasa, memberi fokus kepada kekuatan mereka, dan berani menongkah arus dalam melaksanakan teknologi baharu, digitalisasi dan kecerdasan buatan.
“Dan kini kita punyai China. Mengapa China? Kerana China adalah jiran kita yang amat penting, kerana China membuktikan mereka bersedia untuk bekerja demi keamanan, dan pembangunan rantau serta dunia. Kerana China juga telah membuat pendirian untuk mempromosi keamanan dan keselamatan di rantau ini,” ujarnya.
Atas sebab itu, China, menurut Perdana Menteri lagi, tanpa ragu mempunyai keupayaan untuk mewujudkan perubahan dalam ekonomi dan teknologi, manakala ASEAN pula akan terus komited untuk fokus kepada kemanusiaan, keadilan untuk semua.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami