[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

ASEAN bentuk pasukan petugas bagi keselamatan serantau dan bantuan bencana

Bernama 10/09/2025 | 09:59 MYT
Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pembentukan pasukan petugas itu merupakan langkah paling penting bagi menangani secara menyeluruh sebelas isu utama yang dibincangkan dalam ACDFM ke-22. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemimpin angkatan tentera ASEAN sepakat membentuk pasukan petugas bersama bagi mengekang ancaman rentas sempadan bukan konvensional dan menyelaras bantuan bencana di rantau ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata pembentukan pasukan petugas itu merupakan langkah paling penting bagi menangani secara menyeluruh sebelas isu utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Angkatan Pertahanan ASEAN (ACDFM) ke-22, yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas itu juga akan memainkan peranan dalam mengekang ancaman rentas sempadan bukan konvensional seperti jenayah siber dan penipuan dalam talian, serta menyelaras usaha bantuan bencana di rantau ini.

"Pasukan petugas bersama ini akan meneliti tentang bagaimana untuk kita memperkukuh kerjasama dan mengambil tindakan bersama. Pasukan petugas ini akan mula beroperasi hari ini dan kita akan menyemak semula serta memberi perhatian khusus terhadap perkara berbangkit pada mesyuarat seterusnya di Manila, Filipina tahun dapan," katanya pada sidang media bersama Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina Jen Brawner Jr.

Nizam berkata pasukan petugas itu tidak sama seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun ia bertujuan menjadi platform bagi perbincangan kolektif dan tindakan bersama apabila negara ASEAN berdepan ancaman bersama.

"Dari satu sudut, pasukan petugas ini bukan sepenuhnya seperti NATO tetapi terdapat beberapa persamaan, apabila berlaku ancaman terhadap negara ASEAN ia akan dibincangkan pada peringkat yang sama. Untuk kita membangunkan apa yang telah dicapai oleh NATO, akan mengambil masa yang lama kerana kita masih berpegang kepada ZOPFAN (Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali)," katanya.

Dalam pada itu, antara sebelas perkara yang diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk memastikan ACDFM terus menjadi forum utama dan peringkat tertinggi bagi kepimpinan ketenteraan dalam ASEAN.

Komitmen lain termasuk mengekalkan keamanan dan kestabilan dengan menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman sejajar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Selain itu, semua pihak komited memperkukuh langkah membina kepercayaan dan keyakinan melalui Kod bagi Pertembungan Tidak Dirancang di Laut (CUES), Garis Panduan bagi Pertembungan Tentera Udara, Garis Panduan bagi Interaksi Maritim, Infrastruktur Komunikasi Terus ASEAN, sertai pelbagai inisiatif lain di bawah kerangka Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihat Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).

ACDFM turut menyaksikan penyerahan kepengerusian daripada Malaysia kepada tuan rumah tahun depan iaitu Filipina.

-- BERNAMA



#Angkatan Tentera #ASEAN #pasukan petugas bersama #ancaman rentas sempadan #acdfm