BANGKOK: ASEAN memberi amaran bahawa ketegangan yang berterusan di Selat Taiwan boleh menjejaskan kestabilan rantau ini dan membawa kepada "pertimbangan yang salah, konfrontasi serius, mencetuskan konflik dan memberi kesan tidak dapat dijangka akibat pertembungan antara kuasa-kuasa besar."

Badan serantau 10 negara itu memaklumkan ASEAN bersedia memainkan peranan yang konstruktif dalam memudahkan sesi dialog antara pihak terbabit.

Menteri-menteri luar ASEAN dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan dengan ketidaktentuan antarabangsa dan serantau, terutama membabitkan kawasan bersempadan dengan rantau berkenaan.

"ASEAN menyeru agar pihak berkaitan mengelak melakukan sebarang tindakan provokasi dan menegakkan prinsip seperti termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

"Kita harus bertindak sebagai satu blok dan ASEAN bersedia memainkan peranan yang membina dalam memudahkan dialog secara konstruktif antara pihak berkaitan termasuk menggunakan mekanisme yang diterajui ASEAN bagi mengurangkan ketegangan, memelihara keamanan, keselamatan dan pembangunan di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Menteri-menteri ASEAN menegaskan bahawa dunia amat memerlukan kebijaksanaan dan tanggungjawab semua pemimpin untuk menegakkan multilateralisme dan perkongsian, kerjasama, keamanan secara bersama dan mengamalkan persaingan yang sihat untuk menjamin keamanan, kestabilan, keselamatan dan pembangunan inklusif serta mampan.

Kenyataan itu juga memaklumkan negara-negara anggota ASEAN mengulangi sokongannya terhadap Dasar 'Satu China'.

Menteri-menteri luar ASEAN berada di Phnom Penh bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-55 (AMM 55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan Menteri Luar China Wang Yi adalah antara 27 menteri luar yang dijadual menyertai mesyuarat keselamatan Forum Serantau ASEAN (ARF) pada Jumaat.

Pertemuan itu dibayangi oleh situasi terkini di Taiwan selepas lawatan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke pulau itu pada Selasa.

Ketegangan antara China dan AS semakin memuncak apabila China memulakan latihan ketenteraan mengelilingi Taiwan pada Khamis, sehari selepas lawatan Pelosi.

Latihan ketenteraan dijangka berlangsung sehingga petang Ahad.

-- BERNAMA