[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

ASEAN dan EU perkukuh kerjasama sektor pendidikan tinggi, jaringan akademik

Astro Awani 29/05/2025 | 02:30 MYT
Mustapha memaklumkan, program yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin institusi pendidikan tinggi, wakil belia serta pakar pendidikan dari kedua-dua rantau ini. - Foto Kementerian Pendidikan Tinggi
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi sektor pendidikan tinggi dan jaringan akademik terus diperkukuh melalui Dialog Polisi dan Sesi Jaringan Akademik yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei 2025 di Brussels dan KU Leuven, Belgium.

Antara perkara yang menjadi keutamaan termasuk mendepani cabaran bersama seperti transformasi digital, mobiliti kemahiran, pendidikan inklusif, serta ketahanan terhadap perubahan iklim.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan, program yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin institusi pendidikan tinggi, wakil belia serta pakar pendidikan dari kedua-dua rantau ini amat penting dalam berkongsi kepakaran dan idea untuk membincangkan isu semasa.

“Antara hasil utama daripada program ini termasuklah peningkatan kefahaman terhadap kerangka pengiktirafan kemahiran antara rantau, serta strategi memperkukuhkan penyertaan belia dalam proses pembuatan dasar.

Yang paling penting adalah melalui kerjasama ini ia turut dapat mengukuhkan hubungan antara pemegang taruh pendidikan ASEAN dan EU,” jelasnya ketika menghadiri program EU-ASEAN Sustainable Connectivity Showcase on Higher Education di Brussels, Belgium.

Jelas Mustapha, pengukuhan kerjasama ini memberi pelbagai manfaat kepada negara-negara yang terlibat termasuk penyelesaian isu berkaitan akademik, penerokaan peluang mobiliti pelajar dan akademia.

Kerjasama ini jelasnya penting dalam memacu pembangunan mampan dan integrasi serantau.

Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada EU–ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) yang dilancarkan pada pertengahan 2024.

Sehingga kini, lebih 500 institusi pendidikan tinggi dari ASEAN dan EU telah terlibat melalui pemberian Academic Connectivity Grants, pelaksanaan kajian serantau berkaitan kerangka kelayakan dan jaminan kualiti, serta inisiatif pemerkasaan belia seperti kempen Empower Youth4Food.




#ASEAN #Kesatuan Eropah #Kementerian Pendidikan Tinggi #Mustapha Sakmud