MALAYSIA

ASEAN digesa pelihara keamanan serantau, pastikan keamanan berkekalan

Bernama 02/07/2025 | 21:30 MYT
Pengerusi dan Wakil Malaysia untuk AICHR, Edmund Bon Tai Soon mempengerusikan The AICHR Regional Workshop on Gender Lens Perspective on Business and Human Rights in ASEAN di Courtyard Kuala Lumpur South baru-baru ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN tidak seharusnya mengambil mudah keamanan serantau, sebaliknya perlu bekerjasama secara kolektif untuk memanfaatkan kestabilan semasa bagi memperkukuh perpaduan dan memastikan keamanan yang berkekalan untuk rakyat ASEAN.

Wakil Vietnam ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Nguyen Trung Thanh, berkata ASEAN perlu memupuk budaya keamanan di semua peringkat - dalam kalangan negara anggota dan dalam komuniti - bagi memastikan keamanan yang inklusif dan mampan dapat dipertahankan.

"Cabaran terhadap keamanan di ASEAN dan dunia semakin meningkat. Saya percaya keindahan ASEAN dan kisah kejayaannya selama beberapa dekad boleh membimbing kita dalam usaha berterusan mencegah konflik.

"Kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menjadikan cabaran ini sebagai peluang untuk memastikan perkongsian inklusif dan masa depan yang berdaya tahan untuk semua.

"Kami (Vietnam) berharap dapat menjalin perkongsian yang lebih kukuh dalam ASEAN, dan kita perlu memperbaharui tenaga dalam perkongsian ini untuk memanfaatkan waktu dan ruang aman yang kita miliki sekarang," katanya kepada Bernama dan RTM di sini pada Rabu.

Sementara itu, mengenai isu dan ancaman serantau - khususnya yang memberi kesan kepada negara anggota ASEAN - Wakil Singapura ke AICHR, Eugene Tan, berkata pencegahan dan penyelesaian konflik perlu dilihat sebagai alat penting untuk mencapai matlamat jangka panjang ASEAN, termasuk Visi Komuniti ASEAN 2045.

Menekankan kepentingan untuk kembali kepada nilai teras ASEAN seperti pembinaan konsensus, saling percaya dan kerjasama serantau, Eugene berkata usaha mengarusperdanakan agenda keamanan boleh mengukuhkan perpaduan sosial dan membina masyarakat yang lebih berdaya tahan di rantau ini.

"Apabila kita melihat ASEAN, kadangkala kita terlupa bahawa ASEAN ditubuhkan untuk mencegah dan menyelesaikan konflik.

"ASEAN perlu merenung kembali Deklarasi Bangkok, yang berjaya menghimpunkan negara-negara pengasas yang dahulunya saling mencurigai antara satu sama lain, dan memberi fokus kepada pencegahan serta penyelesaian konflik, bukan hanya sebagai matlamat tetapi sebagai alat untuk mencapai perpaduan yang lebih besar," katanya.

Deklarasi ASEAN, juga dikenali sebagai Deklarasi Bangkok, telah ditandatangani pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand, bagi menubuhkan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Ia ditandatangani oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Deklarasi itu menggariskan matlamat dan tujuan ASEAN, dengan fokus utama kepada kerjasama serantau untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan budaya di Asia Tenggara, selain mempromosikan keamanan serta kestabilan serantau.

-- BERNAMA






#ASEAN #AICHR #ruang aman #fokus utama