MALAYSIA
ASEAN, EU bersatu capai matlamat iklim progresif, lindungi alam sekitar

Johari (tujuh, kiri) bergambar bersama menteri-menteri ASEAN dan EU pada Dialog Menteri ASEAN-EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Langkawi hari ini. - Gambar/ Bernama
LANGKAWI: Dialog Menteri ASEAN-EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang julung kali diadakan di sini melengkapkan agenda alam sekitar ASEAN yang semakin berkembang dengan kepimpinan EU dalam menetapkan sasaran iklim lebih progresif serta perlindungan alam sekitar melalui inisiatif seperti European Green Deal dan komitmen terhadap karbon neutral.
Ringkasan AI
- Dialog julung kali antara ASEAN dan EU mengenai alam sekitar di Langkawi bertujuan membentuk kerangka kerjasama dalam menangani isu seperti pencemaran plastik, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim, serta memperkukuh pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.
- Malaysia dan EU sebagai pengerusi bersama menekankan kepentingan tindakan kolektif rentas sempadan dalam menghadapi cabaran iklim global, dengan EU mengulangi komitmen terhadap sasaran karbon neutral dan inisiatif European Green Deal.
- Dialog ini berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) yang menghimpunkan pemimpin dan pegawai kanan ASEAN untuk membincangkan kelestarian dan pengurusan alam sekitar secara inklusif.
"Cabaran yang kita hadapi, sama ada menamatkan pencemaran plastik, melindungi lautan atau membina daya tahan iklim, menuntut tindakan kolektif yang melangkaui sempadan geografi. Hari ini, kita mula membina respons kolektif itu," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini hari ini.
Dialog yang dipengerusikan bersama Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) itu menyerlahkan komitmen kedua-dua rantau terhadap kerjasama alam sekitar.
Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi Iklim, Pelepasan Sifar Bersih dan Pertumbuhan Mampan, Wopke Bastiaan Hoekstra, menegaskan semula komitmen EU untuk kekal sebagai rakan dipercayai dalam memperkasa tindakan iklim, dengan menekankan keperluan mendesak kerjasama lebih erat dengan ASEAN bagi menangani cabaran alam sekitar global.
Beliau berkata Eropah dan ASEAN berkongsi pandangan yang sehaluan dalam aspek geopolitik, perdagangan dan alam sekitar, dan keserasian itu penting dalam dunia yang kini berdepan pergolakan semakin mencabar.
"Perubahan iklim akan terus memberi kesan kepada setiap pelosok bumi dan ia perlu menjadi keutamaan utama, malah memerlukan tindakan segera. Jika melihat kepada data, 2024 merupakan tahun paling panas dalam rekod dan pertama melepasi paras 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-industri. Lebih membimbangkan, kadar tindakan iklim global, malangnya, masih terlalu perlahan.
"Semua orang di rantau indah anda, begitu juga di rantau kami, menerima kesan daripada keadaan ini. Maka kita tiada pilihan; kita mesti menetapkan aspirasi yang lebih berani," katanya pada dialog itu.
Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) selama tiga hari yang bermula Selasa menghimpunkan menteri alam sekitar ASEAN dan pegawai kanan bagi membincangkan kerjasama serantau mengenai kelestarian dan pengurusan alam sekitar inklusif.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami