NATIONAL

ASEAN gesa Myanmar patuhi 5PC, termasuk cadangan utusan khas tetap pantau krisis

Asyraf Malik 25/05/2025 | 09:38 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan berucap dalam sidang media menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
KUALA LUMPUR: ASEAN menghantar mesej tegas kepada Myanmar untuk mematuhi Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang bertujuan meredakan konflik dalaman negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terdapat cadangan pembaharuan dikemukakan dalam salah satu konsensus tersebut iaitu utusan khas berstatus tetap ditubuhkan bagi melawat Myanmar.

"Usul ini mendapat sokongan majoriti, tiada yang berkata sebaliknya.

"Selama ini setiap negara anggota ASEAN mengambil alih utusan ini secara bergilir tahun demi tahun," ujar Mohamad Hasan dalam sidang media menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini pada Ahad.

Relevansi di sebalik sistem baharu ini adalah proses 5PC dapat dikendalikan dengan lebih efisien, kerana hanya satu badan yang dipertanggungjawab berbanding pendekatan berbeza daripada pelbagai pihak.

Untuk rekod, 5PC dilancarkan oleh Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta pada April 2021, dua bulan selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi di Myanmar.

5PC menggesa pemberhentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan turut menegaskan isu kemanusiaan di Myanmar sudah merentas sempadan dan bukan lagi masalah dalaman negara, ia wajar mendapat perhatian ASEAN secara keseluruhannya.

"Banyak sindiket seperti jenayah siber di Myanmar sudah melimpah memasuki negara lain di Asia Tenggara, dan Malaysia turut terjejas menjadi mangsa.

"Perkara lain di Myanmar yang turut merisaukan adalah pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah yang semakin menjadi-jadi," katanya.






#ASEAN #5PC #Myanmar #Isu kemanusiaan #ASEAN2025 #ASEAN25