ASEAN - Integriti Dialog

Bernama
Oktober 24, 2017 12:02 MYT
Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ketika temu bual sempena Dialog Integriti ASEAN 2017 hari ini. Dialog Integriti ASEAN 2017 anjuran Institut Integriti Malaysia akan diadakan pada Khamis ini. - fotoBERNAMA
Menghayati nilai-nilai sejagat seperti agama, perilaku dan budaya adalah fokus utama Dialog Integriti ASEAN 2017 (AID 2017) anjuran Institut Integriti Malaysia (Integriti), Khamis ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Anis Yusal Yusoff berkata nilai sejagat yang disemai dalam diri individu adalah elemen penting dalam mencapai tadbir urus yang baik dalam sesebuah organisasi.
“Nilai-nilai sejagat seharusnya dijadikan perkara utama untuk dihayati dan dihormati kerana tanpa nilai yang baik, sukar untuk mencapai tadbir urus yang berkesan,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di Menara Integriti, di sini.
Menurutnya, integriti dan tadbir urus juga menjadi asas kepada pencapaian wawasan Komuniti ASEAN yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu Komuniti Keselamatan Politik (APSC), Komuniti Ekonomi (AEC) dan Komuniti Masyarakat Sosiobudaya (ASCC).
AID 2017 akan menghimpunkan barisan panel dari rantau ASEAN yang membincangkan keberkesanan instrumen atau kaedah yang digunakan setiap negara untuk memperbaiki tadbir urus dengan Malaysia diwakili Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Dr Mazlan Yusoff.
#AEC #AID 2017 #Anis Yusal Yusoff #ASCC #ASEAN #ASPC #Dialog Integriti ASEAN 2017 #Komuniti Ekonomi #Komuniti Keselamatan Politik #Komuniti Masyarakat Sosiobudaya #Mazlan Yusoff #Menara Integriti