MALAYSIA

ASEAN mesti kekal prinsip perjuang keadilan, suara warga tertindas - PM Anwar

Bernama 09/07/2025 | 11:00 MYT
Anwar berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memperkukuh kesepaduan dan memetakan arah rantau itu menuju 2045. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN mesti kekal sebagai wahana berprinsip yang memperjuangkan keadilan, undang-undang antarabangsa dan suara warga tertindas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN mesti kekal berprinsip, memperjuangkan keadilan, undang-undang antarabangsa dan suara golongan tertindas, terutama dalam konteks konflik global seperti Gaza, Ukraine dan Myanmar.
  • Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 komited memperkukuh kesepaduan, memacu integrasi ekonomi serantau dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan rentas sempadan sebagai keperluan strategik.
  • ASEAN tidak akan tunduk kepada kuasa luar, sebaliknya berani menentukan nasib sendiri dengan satu suara, keberanian dan tekad yang jitu demi masa depan rantau menjelang 2045.


Anwar berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memperkukuh kesepaduan dan memetakan arah rantau itu menuju 2045.

Beliau berkata ASEAN tidak lahir daripada suasana yang mudah, tetapi terbentuk daripada kerumitan dan semangat dialog yang mesti terus dipelihara.

"Di tengah pergolakan geopolitik global, dari Gaza, Ukraine, Myanmar hingga Timur Tengah, kita tidak boleh tunduk pada retorik kuasa atau prinsip yang hanya ditegakkan apabila ia cocok dengan keadaan semasa," kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata kekuatan dalaman ASEAN perlu diperkasakan dengan meningkatkan perdagangan antara satu dengan yang lain, pelaburan rentas sempadan dan menyegerakan integrasi ekonomi serantau.



"Ia bukan pilihan, tetapi keperluan strategik demi ketahanan yang lebih tegap," kata Anwar.

Sehubungan dengan itu, Anwar menegaskan bahawa ASEAN tidak akan membiarkan keputusannya ditentukan oleh kuasa luar, sebaliknya menjadi rantau yang berani menentukan nasibnya sendiri dengan satu suara, keberanian dan tekad yang jitu.

"Ini iltizam Malaysia. Ini suara ASEAN," kata beliau.

-- BERNAMA



#Anwar Ibrahim #ASEAN #memperjuangkan keadilan #AMM ke-58 #terkini