[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
MALAYSIA

ASEAN perlu bekerjasama tangani ancaman jenayah siber - Saifuddin Nasution

Bernama 24/06/2025 | 05:30 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jenayah ini menjadi cabaran serius dan mendesak dalam era digital kini. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Ancaman jenayah siber yang kian meningkat, merangkumi penipuan kewangan sehingga serangan perisian tebusan (ransomware), menunjukkan keperluan mendesak untuk kerjasama yang lebih kukuh dan seragam dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Ringkasan AI
  • Ancaman jenayah siber kian serius di ASEAN, meliputi penipuan kewangan dan serangan ransomware, memerlukan tindakan serantau yang lebih kukuh dan seiring dengan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI).
  • Malaysia menyeru kerjasama erat melalui platform seperti SOMTC, dengan penekanan kepada kepercayaan, perkongsian maklumat, dan membina keupayaan negara anggota untuk hadapi ancaman digital bersama.
  • ASEAN disaran bersatu, berani dan berprinsip dalam tindakan, sambil memastikan keselamatan digital dan kestabilan serantau dapat dicapai tanpa kompromi terhadap kedaulatan dan perpaduan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jenayah ini menjadi cabaran serius dan mendesak dalam era digital masa kini.
"Hal ini jelas menunjukkan bahawa isu ini bukanlah masalah masa depan semata-mata, tetapi isu mendesak yang sedang berlaku. Pertahanan digital kita perlu berkembang sepantas teknologi.
"Bermakna, kita perlu menerima pakai teknologi baharu termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab untuk meningkatkan keupayaan mengesan, mencegah dan menguatkuasakan undang-undnag terhadap jenayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenah Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) ke-25 dan Mesyuarat Berkaitan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata teknologi sahaja tidak mencukupi kerana kekuatan sebenar tindak balas kolektif terletak pada kepercayaan, perkongsian maklumat dan membina keupayaan masing-masing meskipun menerima pakai teknologi baharu.
Beliau menyeru kepada negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama melalui platform seperti SOMTC bagi memastikan usaha serantau seiring dengan perkembangan ancaman siber yang pesat.
Malaysia, katanya tetap komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN dalam menjaga landskap digital rantau ini.
"Hal ini penting demi mencapai matlamat bersama, iaitu keamanan, keselamatan dan kestablian rantau ini. Kita percaya bahawa ia bukanlah sesuatu yang perlu kita lakukan, tetapi sesuatu yang mesti kita lakukan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata dalam persekitaran global yang semakin berpecah belah kini, kerjasama antarabangsa kekal sebagai asas kepada kestabilan serantau.
Beliau berkata kerjasama sedemikian bukan sahaja penting dalam menangani cabaran keselamatan bersama, tetapi juga dalam mengekalkan daya tahan ekonomi dan menjamin kepercayaan masyarakat terhadap institusi.
"Kita percaya bahawa tidak memilih pihak bukanlah tanda pasif, sebenarnya ia pendekatan strategik yang melindungi kredibiliti kolektif, memelihara kedaulatan dan mengukuhkan perpaduan. Kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada perpaduan dan keterangkuman dalam kepelbagaian," katanya.
Saifuddin Nasution berkata ASEAN perlu memastikan komitmen terhadap konsensus sepadan dengan kesediaan untuk bertindak tegas dalam menghadapi cabaran yang kian berubah.
"Kita bukan sahaja perlukan penyelarasan, tetapi juga keberanian untuk menghadapi ancaman baharu dan hibrid, keberanian untuk membaharui mekanisme lapuk, keberanian untuk membuat keputusan dasar demi keselamatan dan maruah rakyat kita," katanya.
Beliau turut mengimbas kembali ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bulan lepas yang menggesa negara anggota supaya bersikap praktikal dan berprinsip, berpandangan jauh dengan penuh harapan dan bertindak dengan tekad dalam mengharungi cabaran serantau dan global.
Mengenai SOMTC, Saifuddin Nasution menyifatkan mesyuarat itu bukan sekadar perhimpunan rutin, tetapi juga lambang komitmen kolektif ASEAN yang teguh dalam memerangi jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, meningkatkan usaha penguatkuasaan dan menggalakkan pertukaran amalan terbaik dalam menangani jenayah merentasi sempadan negara.
-- BERNAMA
#ancaman jenayah siber #Saifuddin Nasution #ASEAN #era digital