MALAYSIA
ASEAN perlu komitmen berterusan atasi isu jerebu rentas sempadan - Johari

Johari menegaskan, isu jerebu tidak boleh dilihat sebagai masalah alam sekitar semata-mata kerana ia turut memberi kesan kepada perubahan iklim, daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. - Foto Bernama
LANGKAWI: ASEAN perlu memutuskan kitaran sikap reaktif terhadap isu jerebu rentas sempadan yang hanya diberi perhatian sewaktu krisis berlaku dan kembali sepi apabila keadaan pulih.
Ringkasan AI
- ASEAN digesa hentikan sikap reaktif terhadap isu jerebu, dan menggantikannya dengan komitmen berterusan serta tindakan pencegahan jangka panjang.
- Malaysia tekankan kepentingan kerjasama serantau, penggunaan sains dan data sahih dalam dasar, serta sokongan terhadap matlamat ASEAN Bebas Jerebu 2030.
- Jerebu bukan isu alam sekitar semata-mata, tetapi turut memberi kesan kepada iklim, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, justeru memerlukan solidariti dan komitmen politik berterusan.
“Terlalu kerap, momentum hanya meningkat ketika berlakunya krisis, namun beransur hilang apabila langit kembali cerah. Kitaran ini mesti diputuskan melalui komitmen yang konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Pihak-Pihak (COP) Ke-20 Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, pengalaman jerebu besar pada 1997, 2006, 2015 dan 2023 perlu dijadikan iktibar bahawa cabaran itu tidak boleh ditangani dengan tindakan sementara, sebaliknya menuntut langkah pencegahan dan kerjasama jangka panjang.
Katanya, Malaysia sendiri berdepan episod jerebu pada Julai lalu, sekali gus membuktikan usaha serantau masih perlu diperkukuh meskipun sudah ada kemajuan sejak AATHP ditandatangani pada 2002.
Johari turut menegaskan, isu jerebu tidak boleh dilihat sebagai masalah alam sekitar semata-mata kerana ia turut memberi kesan kepada perubahan iklim, daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, matlamat ASEAN Bebas Jerebu 2030 yang dipersetujui negara anggota adalah selari dengan komitmen global terhadap Perjanjian Paris, khususnya dalam pengurangan pelepasan karbon, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan.
“Bebas jerebu menjelang 2030 bukan sekadar aspirasi, tetapi satu tanggungjawab kolektif untuk rakyat kita, ekosistem kita dan generasi masa depan,” katanya.
Dalam ucapannya, Johari juga mengingatkan kepentingan menggunakan sains dan data sahih sebagai asas dalam pembentukan dasar supaya tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan memberikan hasil nyata.
Sehubungan itu, beliau menggesa ASEAN memperkukuh kerjasama dengan rakan dialog, agensi pembangunan dan institusi antarabangsa dalam aspek pencegahan, sistem amaran awal, mitigasi serta pembangunan kapasiti.
“Cabaran jerebu menuntut penyelesaian serantau berasaskan solidariti dan semangat Satu ASEAN. Dengan komitmen politik yang berterusan, saya yakin kita mampu mencapai sasaran bersama,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami