NATIONAL
ASEAN perlu lebih berani, berhenti guna pendekatan ‘business-as-usual’ - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, perkara itu dicapai secara konsensus oleh Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN kali ke-25 yang beliau pengerusikan di ibu negara pada Ahad. -Facebook
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu melepaskan diri daripada pendekatan ‘urusan seperti biasa’, dan mengguna pakai strategi yang lebih berani, mampan, dan memandang ke hadapan, bagi melindungi dan memajukan kepentingan sosio-ekonomi rantau ini.
Ringkasan AI
- ASEAN perlu meninggalkan pendekatan lama dan mengadaptasi strategi yang lebih berani dan mampan untuk melindungi kepentingan sosio-ekonomi rantau ini, seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-25 yang dipengerusikan oleh Menteri MITI, Tengku Zafrul.
- Mesyuarat tersebut mengiktiraf kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Piawaian Perdagangan Digital oleh Laos serta memuktamadkan dua Penyampaian Ekonomi Utama (PED) Malaysia bagi 2025, iaitu naik taraf ACFTA 3.0 dan ATIGA, yang dijangka meningkatkan integrasi dan daya saing ekonomi serantau.
- ASEAN turut bersetuju memuktamadkan MoA Grid Kuasa ASEAN (APG) yang akan ditandatangani pada Oktober 2025, sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan tenaga, keterhubungan serantau, dan membuka peluang pelaburan rentas sempadan dalam sektor tenaga.
“Kepelbagaian serantau, kekuatan ekonomi secara bersama, kestabilan politik, dan perkongsian komitmen terus bertindak sebagai pemangkin untuk memastikan kejayaan dalam melayari cabaran semasa dan akan datang,” katanya lagi.
Antara perkara penting yang dicapai dalam mesyuarat tersebut, kata Tengku Zafrul, termasuklah mengiktiraf pelaksanaan Penyampaian Ekonomi Utama (PED) Laos untuk 2024, yang berjaya mengguna pakai Pelan Hala Tuju Piawaian Perdagangan Digital, yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memajukan agenda ekonomi digital ASEAN.
Bagi pihak Malaysia, beliau berkata, dua PED bagi 2025 berjaya dicapai, iaitu pemuktamadan Perundingan Menaik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0; dan penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Kedua-dua perjanjian itu, jelas beliau lagi, akan ditandatangani di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 yang akan datang pada Oktober di Kuala Lumpur, di mana Malaysia yakin bahawa pencapaian ini akan menjadi pemangkin penting bagi pertumbuhan dan daya saing ASEAN yang berterusan.
“Penyelesaian rundingan ini dijangka akan meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan menjana manfaat ekonomi yang signifikan untuk ASEAN, ketika kita terus mengharungi landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu.
“Khususnya, ATIGA — yang telah lama dianggap sebagai tunjang integrasi ekonomi ASEAN — kini akan merangkumi peruntukan yang berpandangan ke hadapan dan bermakna dari segi komersial yang bertujuan untuk terus meningkatkan perdagangan serantau, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, dan menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam kalangan negara ASEAN,” katanya lagi.
Selain itu Tengku Zafrul berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan pemuktamadan perbincangan berkenaan Memorandum Persefahaman (MoA) yang Dipertingkatkan mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG).
Beliau berkata, MoA itu dijadualkan untuk ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) pada Oktober 2025.
“APG merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh keselamatan tenaga serantau, keterhubungan, dan kelestarian ASEAN.
"Dalam konteks ini, kami turut mengalu-alukan usaha berterusan ke arah penubuhan Rangka Kerja Kemudahan Pembiayaan APG, yang akan meningkatkan aliran rentas sempadan pelaburan langsung asing (FDI) dan membuka peluang pembiayaan baharu bagi projek berkaitan tenaga di rantau ini.
“Majlis AEC turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran mesyuarat bersama antara Menteri-Menteri Tenaga, Kewangan, dan Ekonomi ASEAN pada Ogos 2025,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami