[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

ASEAN perlu perkukuh respons terhadap pelepasan tanpa sengaja bahan kimia berbahaya

Bernama 24/06/2025 | 20:15 MYT
Bagi menjayakan komitmen ini, Malaysia terus bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa melalui kerjasama serantau dan subserantau. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh respons terhadap pelepasan tanpa sengaja bahan kimia berbahaya selaras dengan Pelan Tindakan Komuniti bagi Keselamatan Politik ASEAN 2025, yang menekankan usaha mengurang dan menghentikan penyebaran senjata pemusnah besar-besaran.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia, sebagai negara anggota ASEAN yang bertanggungjawab, komited ke arah memperkasakan rantau ini melalui perkongsian ilmu dan pembangunan kemahiran terutama dari segi kesiapsiagaan dan respons terhadap insiden membabitkan bahan kimia berbahaya.
"Bagi menjayakan komitmen ini, Malaysia terus bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa melalui kerjasama serantau dan subserantau. Inisiatif utama ialah Program Kesiapsiagaan Insiden Kimia di Hospital (HOSPREP) 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 24 Jun.
"Program ini menyediakan sembilan modul latihan yang komprehensif bagi membantu peserta memahami sifat dan kesan senjata kimia, gejala akibat terdedah serta pelaksanaan strategi rawatan serta intervensi yang sesuai," katanya pada majlis penutup program itu di sini pada Selasa.
Beliau berkata HOSPREP 2025 melangkaui teori dengan memberi penekanan terhadap kemahiran amali termasuk latihan dalam penggunaan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan prosedur perubatan kecemasan di lokasi mahupun di hospital.
"Pendekatan bersepadu ini, yang merangkumi penjagaan di lokasi, kesiapsiagaan hospital dan dekontaminasi, telah meletakkan asas bagi respons yang efektif terhadap kecemasan membabitkan bahan kimia.
"Selain itu, program tersebut meningkatkan pemahaman kolektif mengenai Konvensyen Senjata Kimia (CWC) serta pelan pelindungan nasional Malaysia dan pada masa sama, berfungsi sebagai platform untuk mempromosi kerjasama antarabangsa dan koordinasi rentas sempadan dalam kesiapsiagaan serta respons kecemasan," katanya.
Dianjurkan bersama oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Konvensyen Senjata Kimia (NACWC), Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan, HOSPREP 2025 menghimpunkan profesional kesihatan dari beberapa negara untuk menjalani latihan amali mengenai respons bagi insiden membabitkan bahan kimia.
"Kami amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kolaborasi strategik ini dan mengakui bahawa peranan NACWC adalah melangkaui pematuhan terhadap Konvensyen Senjata Kimia bagi merangkumi respons kecemasan, usaha keselamatan dan keselamatan susulan cabaran yang sentiasa berubah.
"Industri kimia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi serantau yang dianggarkan bernilai AS$1.5 trilion pada 2022 dan Malaysia bangga menerajui inisiatif ini bersama-sama negara membangun lain selama tiga tahun berturut-turut," katanya.
Lukanisman juga berkata ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama Kementerian Luar dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang telah melatih lebih 38,000 peserta dari 144 negara sejak 25 tahun lepas.
Beliau berkata MTCP juga akan memasukkan isu global yang mendesak seperti kecerdasan buatan, ekonomi digital dan pembiayaan iklim bagi memastikan Selatan Global terus terlibat dalam kemajuan dunia.
-- BERNAMA
#ASEAN #bahan kimia berbahaya #tindak balas #perkongsian ilmu