KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bermuhasabah dan mengubah cara kerja untuk berdepan dengan fenomena El Nino, kebakaran hutan dan jerebu yang berlaku ketika ini.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd menyifatkan ASEAN sebagai sedang berdepan krisis berganda.
"ASEAN ada banyak perjanjian dan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) hanya salah satu daripada perjanjian tersebut... Ada perjanjian, tetapi dikekang oleh cara ASEAN bergerak.
“Negara punca masalah ada hak yang tidak boleh disangkal negara anggota lain. Cara kerja ini perlu diubah. Kita perlu muhasabah dan ambil iktibar untuk bergerak ke depan. Situasi ini akan berulang sekurang-kurangnya hingga tahun depan,” kata pakar perubatan penyakit dalaman dan respiratori itu.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Timbalan Ketua (Penyelidikan) dan Pengarah UN SDSN-Asia Sunway University, Prof. Emeritus Datuk Chm. Dr. Mazlin Mokhtar berkata AATHP telah membantu meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN; pertukaran maklumat dan penilaian risiko, terutamanya ketika berlaku kecemasan.
“Tetapi seperti yang kita tahu, negara-negara anggota ASEAN sangat hormat kedaulatan negara. Sekiranya punca jerebu datang dari sebuah negara, maka bagi negara jiran yang terkesan hendak masuk ke kawasan punca itu tidak mudah. Kita tidak campur urusan dalaman negara-negara anggota lain. Kita nampak itu satu kekangan.
“Tetapi keadaan sekarang semakin runcing; nasi sudah jadi bubur. Kita hendak seru kepada para pemimpin untuk anggap fenomena ketika ini sebagai Super El Nino; fenomena yang tidak pernah berlaku, memerlukan tindakan luar biasa,” ujarnya lagi.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan, Kalimantan merekodkan peningkatan ketara titik panas sepanjang Ogos, dengan 9,849 titik panas dikesan berbanding 1,339 pada Julai.
ASMC turut melaporkan asap sederhana hingga tebal daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara, sekali gus menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia dan negara jiran.
Setakat 9 malam Khamis, IPD Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Berbahaya pada bacaan 408. Manakala tiga kawasan lain mencatatkan bacaan Sangat Tidak Sihat iaitu Kuching (275), Sri Aman (269), dan Samarahan (263).
Selain itu, 13 kawasan lain mencatatkan IPU Tidak Sihat di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Selebihnya, 46 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU sederhana.