MALAYSIA

ASEAN tidak boleh biarkan Indo-Pasifik dikuasai pakatan multilaterisma luar – Tok Mat

Firdaus Azil 21/07/2025 | 03:10 MYT
Mohamad berkata, kesemua negara anggota ASEAN bersetuju untuk tidak terkecuali dalam mengambil bahagian, dan menjaga kepentingan rantau ini di kawasan Indo-Pasifik. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kesemua negara anggota ASEAN bersetuju untuk tidak terkecuali dalam mengambil bahagian, dan menjaga kepentingan rantau ini di kawasan Indo-Pasifik, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.


Ringkasan AI
  • Semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk tidak terkecuali dalam menjaga kepentingan rantau Indo-Pasifik dan mengambil bahagian secara aktif melalui kerangka ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.
  • ASEAN perlu menyesuaikan diri dengan kewujudan pakatan seperti AUKUS, Quad, IPEF dan Indo-Pacific Four, demi memastikan rantau kekal bebas, aman dan berkecuali.
  • Malaysia akan memperkukuh peranan melalui diplomasi, kerjasama Selatan-Selatan dan pembangunan mapan, dengan pendekatan inklusif dan dialog strategik untuk menjamin keamanan serantau.


Mohamad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kerangka ‘ASEAN Outlook on the Indo-Pacific’ memandangkan wujudnya pelbagai mekanisma negara luar di kawasan tersebut, antaranya AUKUS, iaitu pakatan keselamatan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, beliau berkata, wujud juga pakatan multilateral lain seperti dialog strategik Quad melibatkan empat negara; Strategi Indo-Pasifik Kesatuan Eropah; Kerjasama Ekonomi Strategik untuk Kemakmuran (IPEF); dan Indo-Pacific Four melibatkan empat anggota NATO iaitu Korea Selatan, Jepun, New Zealand, dan Australia.

“Kerana berbagai-bagai mekanisme yang telah pun diwujudkan termasuk AUKUS, iaitu tiga buah negara seperti AS, UK dan di Australia mengadakan kerangka pertahanan bersama mereka termasuk Quad empat negara iaitu India, AS, Australia dan juga Jepun.

“Jadi ini merupakan satu kerangka yang ASEAN mesti mengambil bahagian. Maka itu sebab wujudnya ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, kerana perlu untuk kita sesuaikan diri dan menjadi sebagai suatu pemain utama untuk kita memastikan kawasan ini terus bebas, aman dan berkecuali,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang mahu mengetahui pendirian Kerajaan tentang kewujudan pelbagai pakatan multilaterisme di Indo-Pasifik.

Dalam pada itu Mohamad berkata, Malaysia kekal komited dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara yang proaktif dan menyumbang dengan secara positif terhadap keamanandan dan kestabilan Indo-Pasifik selaras dengan prinsip bebas berkecuali,

“Malaysia akan mempergiatkan aktiviti diplomasi seperti memperkukuhkan ASEAN sebagai pemegang taruh utama Indo-Pasifik, menyesuaikan dasar luar dengan realiti geopolitik baru, meningkatkan keupayaan diplomasi, ekonomi dan keselamatan.

“(Selain itu) memperkasakan kerjasama selatan Selatan dan mengutamakan diplomasi kemanusiaan dan pembangunan mapan. Malaysia juga menekankan kepentingan pembinaan kepercayaan secara strategik melalui dialog, bicara dan diplomasi terangkum.

“Malaysia percaya bahawa keterlibatan secara konstruktif dan inklusif merupakan kunci dalam mengurus perbezaan, mengelakkan ketegangan serta memelihara keamanan serantau dan antarabangsa,” tegasnya lagi,





#Indo-Pasifik #Mohamad Hasan #ASEAN #Malaysia