NATIONAL

ASEAN25: Keberadaan Malaysia selaku pengerusi mudahkan penyelesaian konflik Myanmar

Faida Rahim 26/05/2025 | 11:09 MYT
Ahmad Zahid berkata pelantikan perunding dan penerimaan Malaysia dalam peranan ini memudahkan proses penyelesaian konflik dalaman Myanmar. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keberadaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mempermudahkan penyelesaian dalam usaha menghentikan konflik berpanjangan di Myanmar.


Ringkasan AI
  • Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam usaha menyelesaikan konflik di Myanmar, termasuk melalui perbincangan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin junta negara itu.
  • Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa pelantikan perunding dan penerimaan Malaysia dalam peranan ini memudahkan proses penyelesaian konflik dalaman Myanmar.
  • Ahmad Zahid turut menekankan bahawa Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 menggariskan visi membentuk Komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan berkecuali, serta menolak dominasi unipolar demi masa depan rantau yang selamat dan stabil.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara usaha dilakukan termasuk beberapa perbincangan diadakan sebelum ini antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin junta di negara itu.

"Malaysia menjadi pengerusi ASEAN dan beberapa perbincangan telah diadakan antara PMX (Anwar) dan pemimpin junta di sana.

"Dan tentunya apabila kita melantik perunding untuk menyelesaikan masalah itu, pada hemat saya keberadaan Malaysia sebagai itu diterima dan ini mempermudahkan penyelesaian masalah dalaman di Myanmar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, Deklarasi Kuala Lumpur yang menjadi antara dokumen paling signifikan dalam sejarah kepengerusian Malaysia itu merangka hala tuju ASEAN untuk dua dekad akan datang dengan aspirasi membentuk Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat menjelang tahun 2045.

"Ia tentu ke arah kebersamaan menghadapi tentangan dari negara negara luar.

"Kita mahu bahawa dunia keseluruhannya dan tidak kecuali negara-negara ASEAN itu mendeklarasikan agar soal unipolar (iaitu satu negara sahaja yang menguasai (berkuasa) itu tidak wujud, tetapi mesti multipolar agar rantau ASEAN menjadi rantau yang selamat dan berkecuali, dan ini adalah untuk kepentingan generasi ASEAN 20 tahun akan datang," katanya.

Pemimpin ASEAN hari ini menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, yang menjadi antara dokumen paling signifikan dalam sejarah kepengerusian Malaysia.

Deklarasi tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi ASEAN 2025, disertai sembilan lagi pemimpin negara Asia Tenggara bagi menggantikan ASEAN 2025: Maju Bersama, yang diterima pakai pada 2015.










#Anwar Ibrahim #Pengerusi ASEAN 2025 #Konflik Myanmar #Ahmad Zahid Hamidi #ASEAN25