MALAYSIA

ASEAN25: Malaysia berjaya percepatkan DEFA, dijangka muktamad pada 2026 – CEO ASLI

Irfan Faruqi 01/12/2025 | 13:00 MYT
Malaysia dorong DEFA bernilai USD2 trilion, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 jadi perhimpunan pemimpin dunia terbesar tahun ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai pengerusi ASEAN telah menyumbang secara signifikan kepada tindakan menyempurnakan rundingan mengenai Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA) sepanjang tahun 2025.


Ringkasan AI
  • Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam mempercepat rundingan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA) yang dijangka dimuktamadkan tahun depan. MITI mengunjurkan DEFA mampu menjana nilai ekonomi sekitar USD2 trilion menjelang 2030 dengan pelbagai manfaat kepada rantau ASEAN. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencatat sejarah sebagai perhimpunan pemimpin dunia terbesar tahun ini, susulan boikot AS terhadap G20 dan COP30.


Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI), Danial Rahman berkata, perjanjian berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan pada tahun depan.

“Usaha untuk integrasikan ekonomi, contohnya melalui Komuniti Ekonomi ASEAN, telah lama bermula. Namun pada tahun 2025, perjanjian atau tindakan ke arah merealisasikan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA) telah semakin hampir.

"DEFA dijangka dimuktamadkan tahun depan di bawah kepengerusian Filipina. Namun ia telah dirundingkan secara agresif pada tahun ini di bawah kepengerusian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Tambahnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengunjurkan nilai ekonomi yang akan terhasil daripada DEFA adalah kira-kira USD2 trilion menjelang 2030 dengan pelbagai kelebihan akan dicapai.

Dalam pada itu, Danial berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 juga mencipta sejarah tersendiri sebagai persidangan pemimpin dunia terbesar sepanjang tahun ini.

“Fakta menarik, susulan AS boikot Sidang Kemuncak G20 dan Sidang Pihak-pihak ke-30 (COP30) Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC), telah menjadikan ASEAN platform perhimpunan pemimpin dunia paling besar selepas persidangan Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.

Malaysia telah menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada 28 Oktober lalu seusai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
#ASEAN25 #MITI #sidang kemuncak #pelaburan