NATIONAL

ASEAN25: Malaysia-Laos sokong keanggotaan penuh Timor-Leste

Astro Awani 25/05/2025 | 06:43 MYT
Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk memuktamadkan proses kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN. -Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Malaysia dan Laos sekali lagi mengulangi sokongan mereka terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan menyeru usaha yang lebih giat dan inklusif untuk menangani krisis berpanjangan di Myanmar.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Laos menyatakan sokongan penuh terhadap keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN dan berharap proses kemasukan dapat dimuktamadkan menjelang Oktober tahun ini.
  • Kedua-dua negara turut menyeru usaha lebih giat dan inklusif dalam menangani krisis Myanmar, termasuk menekankan keperluan bantuan kemanusiaan, gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
  • Lawatan rasmi Perdana Menteri Laos ke Malaysia turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama antara Penang Port dan Thanaleng Dry Port, sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk memuktamadkan proses kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

"Kami ada membincangkan kemasukan Timor-Leste, yang diharapkan dapat dimuktamadkan menjelang Oktober tahun ini, sekiranya kita dapat mengekalkan kata sepakat dalam mesyuarat esok, khususnya dalam sesi pemukiman yang seterusnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, di Kompleks Perdana Putra, di sini, pada Ahad.

Anwar dan Siphandone sebelum itu menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP).

Pertukaran itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports) Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif PTL Holding Co Ltd Chanthone Sitthixay.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai situasi di Myanmar, Anwar berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangannya bersama Siphandone.

"Kami turut membincangkan mengenai situasi di Myanmar. Mereka perlu terus menerima bantuan kemanusiaan dan semua pihak di Myanmar harus menghormati keperluan untuk keamanan, gencatan senjata serta-merta dan seterusnya berusaha melalui mekanisme dan persefahaman ASEAN dengan merujuk kepada Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui negara-negara ASEAN," tambahnya.

Siphandone tiba di Malaysia pada Ahad bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Beliau telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan mesyuarat bilateral bersama Perdana Menteri.

Ini merupakan lawatan pertama Siphandone ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.







#Anwar Ibrahim #Myanmar #gencatan senjata #bantuan kemanusiaan #Timor-Leste