NATIONAL

ASEAN25: Sidang Kemuncak ASEAN uji keupayaan pemodenan, penyelesaian konflik dalaman - Penganalisis

Irfan Faruqi 21/05/2025 | 14:00 MYT
Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei akan menguji keupayaan pertubuhan negara-negara Asia Tenggara ini untuk memodenkan organisasinya dan menyelesaikan konflik dalaman yang timbul. - Gambar fail/Freepik
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN akan menguji keupayaan pertubuhan negara-negara Asia Tenggara untuk memodenkan organisasinya dan menyelesaikan sebarang konflik dalaman.


Ringkasan AI
  • Ujian Keupayaan ASEAN untuk Dimodenkan: Sidang ini menjadi medan penting untuk menguji kemampuan ASEAN memodenkan organisasinya serta menyelesaikan konflik dalaman antara negara anggota. Fokus kepada Agenda Serantau, Isu Global di Luar Sidang: Isu seperti Palestin dan Ukraine dijangka hanya dibincangkan secara tidak rasmi, manakala sidang rasmi memberi tumpuan kepada agenda hijau, digitalisasi, perdagangan dan mata wang nasional. Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN: Malaysia menerima penilaian positif sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, terutama dengan penganjuran sidang bersama ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC China yang memperkukuh dialog serantau.


Pensyarah Kanan Sekolah Undang-undang dan Pentadbiran Taylor’s University, Dr. Julia Roknifard berkata, beliau tidak menolak kemungkinan isu-isu antarabangsa lain seperti Palestin dan Ukraine akan dibincangkan, tetapi hanya akan berlaku di luar sidang ASEAN.

"Sidang Kemuncak ASEAN kali ini agak komprehensif dengan menyentuh soal agenda hijau, digitalisasi, perdagangan dan mata wang nasional. Sidang Kemuncak kali ini menguji keupayaan ASEAN untuk dimodenkan dan menyelesaikan konflik dalam kalangan negara-negara pertubuhan ini. Bahkan, ia akan menguji sejauh mana ASEAN menarik minat pihak-pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu, Julia memberi penarafan baik kepada Malaysia sebagai pengerusi yang menerajui ASEAN pada tahun ini.

“Setakat ini baik. Tambahan pula dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-China-GCC yang merupakan inisiatif baik untuk pastikan dialog berlangsung walaupun kita tidak dengar sebarang hasil jelas susulan sidang kemuncak ini. Kita akan lihat prestasi Malaysia untuk separuh kedua tahun ini (sebagai Pengerusi ASEAN),” ujarnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di ibu negara.

Sidang ini dilaksanakan serentak dengan Sidang Kemuncak Kerjasama ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.





#ASEAN #sidang kemuncak #Palestin #Ukraine