NATIONAL

ASEAN25: Teroka potensi ladang rentas sempadan, tingkat jaminan makanan serantau

Nabilah Khaleeda 27/05/2025 | 02:40 MYT
ASEAN disaran untuk meneroka peluang pertanian rentas sempadan sebagai langkah strategik dalam menangani isu sekuriti makanan serantau.
KUALA LUMPUR: ASEAN disaran untuk meneroka peluang pertanian rentas sempadan sebagai langkah strategik dalam menangani isu sekuriti makanan serantau, khususnya dalam pengeluaran makanan ruji seperti beras dan jagung.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Ts Dr Fazleen Abdul Fatah, Malaysia berpotensi melabur dalam tanah pertanian di negara-negara jiran seperti Kemboja, Vietnam dan Laos menerusi model ladang kontrak, sekali gus memanfaatkan keluasan tanah yang belum diterokai sepenuhnya di rantau ini.

“Potensi ini membolehkan negara bukan sahaja menjadi hab pertanian organik atau halal, tetapi juga pusat pemprosesan makanan agro serantau serta peneraju dalam pertanian pintar dan digital,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pelaburan pertanian yang merentasi sempadan dapat memacu integrasi ekonomi serantau dan memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai zon pengeluaran makanan mampan.

Langkah ini juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar ASEAN serta mengukuhkan rantaian bekalan makanan dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan.




#ASEAN25 #keterjaminan makanan #ladang rentas sempadan