NATIONAL

ASEAN25: Tiga sidang kemuncak, berbeza dengan 10 tahun lepas - Fahmi

Madiha Abdullah 21/05/2025 | 07:47 MYT
Kata Fahmi, kerajaan mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin, terutama ketika kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lebih ramai delegasi dijangka hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 edisi ke-46 kali ini, atas faktor ia akan berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.

Justeru, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah penutupan jalan dan kebenaran untuk beberapa buah sekolah menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di rumah diambil bagi mengelakkan kesesakan dan sebarang kesulitan kepada orang awam.

"Kali ini bukan satu tapi tiga sidang kemuncak. Ini yang membezakan sidang kemuncak kali ini dengan yang sebelumnya. Bagaimana kita berjaya lakukan, kita perlu berterima kasih kepada Kementerian Luar kerana kerja cemerlang mereka bersama Sekretariat ASEAN.

"Bukan mudah untuk meyakinkan pemimpin negara-negara tersebut untuk melihat betapa pentingnya sidang kemuncak dengan ASEAN dalam usaha mengukuhkan hubungan antara rantau," katanya dalam sidang media mingguan selepas persiapan Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Rabu.

Menjawab rungutan orang ramai, Fahmi menjelaskan, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi sidang kemuncak berkenaan berbanding Putrajaya kerana statusnya sebagai ibu negara, selain mahu mengambil kesempatan untuk mempamerkan kepada delegasi luar kemajuan yang sudah dicapai sejak 10 tahun lalu.

"Memang kebiasaannya, sidang kemuncak diadakan di ibu negara, Ia satu pilihan di mana kita harap dapat menunjukkan kehebatan Kuala Lumpur selepas 10 tahun, kerana kali terakhir sidang kemuncak ini berlangsung di negara kita ialah sedekad lepas.

"Dalam masa yang sama, saya ambil maklum ramai yang terkesan dan terpaksa merancang perjalanan. Jadi saya harap syarikat swasta dapat mengambil saranan perdana menteri untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah," katanya.

Tambah Fahmi lagi, peluang menganjurkan acara seumpama ini tidak selalu hadir, dan kerajaan mahu menggunakannya sebaik mungkin, terutama ketika kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian dan buah mulut masyarakat antarabangsa.


#Fahmi Fadzil #ASEAN25 #PdPR #penutupan jalan