Skip to main content

Malaysia

Ashwad Ismail umum pengunduran sebagai Ketua Pengarang Astro AWANI

Sumber: Astro AWANI
Ashwad mengakui, keputusan untuk berundur bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya ketika organisasi ini berada dalam keadaan kukuh dari segi editorial dan komersial. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 19 tahun menempuh sebuah perjalanan, dari awal penubuhan sehingga ke kedudukan hari ini sebagai jenama berita paling dipercayai di Malaysia, Ashwad Ismail mengumumkan pengunduran sebagai Ketua Pengarang Astro AWANI.

Ashwad merupakan sebahagian daripada visi pengasas yang melahirkan saluran ini pada tahun 2007 dan sepanjang lima tahun yang lalu, beliau diberi penghormatan dan kepercayaan oleh Astro Malaysia Holdings Berhad untuk menerajui Astro Awani Network Sdn Bhd dalam tempoh yang paling mencabar dan transformatif dalam sejarah media global.

Advertisement

“AWANI bukan sekadar tempat kerja bagi saya. Ia adalah satu tanggungjawab, ” katanya.

“Diberi kepercayaan untuk membentuk hala tuju editorial dan budaya institusi merupakan penghormatan terbesar dalam kehidupan profesional saya.”

Di bawah teraju beliau, Astro AWANI melakar pencapaian bersejarah termasuk aspek komersial, memperkukuh tadbir urus editorial dan etika bilik berita, memacu transformasi digital merentasi pelbagai platform, serta memposisikan organisasi sebagai rujukan serantau berkait kewartawanan di dalam era kecerdasan buatan (AI).

“Setiap transformasi yang kami laksanakan berteraskan kepercayaan bahawa kewartawanan yang dipercayai mesti kekal berpaksikan rakyat, mampan dari segi komersial, berpandangan jauh dari sudut teknologi dan sentiasa manusiawi,” tambah beliau.

Ashwad mengakui, keputusan untuk berundur bukanlah sesuatu yang mudah, khususnya ketika organisasi ini berada dalam keadaan kukuh dari segi editorial dan komersial.

“Tiada masa yang benar-benar sempurna untuk meninggalkan sesuatu yang kita cintai. 

"Namun kepimpinan juga menuntut kebijaksanaan untuk memberi ruang kepada pembaharuan. Saya berundur pada saat organisasi ini berada dalam keadaan yang kuat.”

 

 

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penonton, warga bilik berita, pasukan produksi, profesional kreatif, rakan strategik serta Astro Group yang telah bersama-sama menempuh perjalanan hampir dua dekad ini.

Ashwad turut menyatakan keyakinannya terhadap barisan kepimpinan dan pasukan editorial yang akan terus menerajui organisasi ini ke hadapan.

“Hari ini, Astro AWANI adalah sebuah institusi. Menjadi sebahagian daripada titian perjalanan sebuah visi kepada impak, ia adalah sesuatu yang akan sentiasa saya bawa bersama, selamanya," jelas beliau.

Must Watch Video