Asing tempat duduk dalam pawagam untuk didik masyarakat - MB Terengganu

Bernama
Julai 7, 2020 21:49 MYT
Peraturan pengasingan tempat duduk di pawagam Terengganu yang bermula 4 Julai itu hanya melibatkan lelaki dan wanita bukan mahram. - Gambar fail
Tiada tindakan akan diambil terhadap pihak yang mengingkari arahan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita di dalam panggung wayang di Terengganu buat masa ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata ini kerana langkah itu yang dilaksanakan menurut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu adalah satu proses mendidik masyarakat di negeri berkenaan agar mematuhi syariah dalam aktiviti yang dijalankan.
"Setakat ini kita (kerajaan negeri) hanya keluarkan garis panduan dan kita minta supaya ikut. Kita harap tidak akan sampai ke situ (hukuman)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Katanya peraturan pengasingan tempat duduk yang bermula 4 Julai itu hanya melibatkan lelaki dan wanita bukan mahram.
Ahmad Samsuri juga berkata kerajaan negeri akan tetap melaksanakan peraturan itu meskipun ada yang tidak bersetuju atas alasan melanggar hak dalam Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
#Ahmad Samsuri Mokhtar #asing #bukan mahram #didik masyarakat #garis panduan #ingkar arahan #pawagam #pengasingan tempat duduk #Peraturan #Perlembagaan Persekutuan #syariah #tempat duduk #terengganu #tindakan