ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah bersama-sama Rejimen Pakar Air RAJD (Askar Wataniah) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil inisiatif menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas akibat cuaca kemarau.

Menurut Exco Bekalan Air dan Sumber Air negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob, kerajaan negeri melalui Misi Bantuan Bekalan Air Negeri Kedah mendengar keluh-kesah rakyat berdepan situasi kemarau yang berpanjangan sejak Disember tahun lalu menyebabkan gangguan bekalan dan tekanan air yang menjejaskan pengguna di beberapa tempat seperti Kuala Kedah, Kuala Muda, Tanjung Dawai dan Gurun.

Katanya, kekurangan sumber bekalan air yang menjejaskan jumlah pengeluaran menyebabkan kadar aliran dan tekanan mengalami penyusutan serta menjejaskan operasi rumah pam utama yang membekalkan air ke kawasan penduduk.

"Misi bantuan ini melibatkan beberapa perkara iaitu mewujudkan satu kawalan keselamatan di pondok panas untuk mengawal keadaan pengagihan bantuan bekalan air.

"Selain itu kita juga akan melaksanakan kerja pengagihan bantuan bekalan air kepada pengguna di Merbok, Tanjung Dawai dan Semeling," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, misi itu juga turut melibatkan pemasangan paip baharu bersaiz 6 inci sepanjang 1 kilometer bagi menyalurkan bekalan air ke kawasan bermasalah di Kampung Tanah 100, Pengkalan Kundur.

"Misi ini juga termasuk pemasangan paip baharu di Kampung Bukit Chengal dan Kampung Bendang Bukit di Sungai Tiang, Kampung Risda di Gurun dan Kampung Sungai Anak Ikan di Bukit Selambau," kata Suraya lagi.

Beliau berkata, seramai 80 orang peserta akan terlibat dari pelbagai negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Kementerian Pertahanan Malaysia bermula 23 Mac lalu hingga 3 April ini.

"Walaupun ia sebuah Latihan di bawah program 60 Rejimen Pakar Air RAJD (AW), namun ia tetap direalisasikan dengan usahasama daripada pihak syarikat- syarikat konsesi air seperti SADA, Air Selangor, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang memperuntukkan sokongan dana dan aset seperti tiga buah lori tangki, pondok panas, paip-paip baru dan sebagainya," katanya.